Harapan terhadap Malaysia Baharu - Utusan Malaysia

Harapan terhadap Malaysia Baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA ungkapan yang cukup popular yang sering didengar selepas keputusan mengejutkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ialah “Malaysia Baharu’. Secara umumnya ungkapan ini dikaitkan dengan kedudukan landskap politik baru di negara ini yang me­nyaksikan buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) gagal membentuk Kerajaan Persekutuan dan Malaysia ditadbir oleh pasukan baharu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Sebagai perumpamaan ungkapan ini juga digambarkan sebagai membina sebuah rumah baharu ataupun ada juga yang menggambarkan rumah yang lama tetapi diisi de­ngan perabot baharu. Walau apapun tafsirannya penulis bersama anggota masyarakat yang lain mempunyai harapan yang terlalu besar terhadap “Malaysia Baharu” ini.

Antara harapan rakyat adalah, memperkukuhkan aspek perpaduan antara kaum. Setuju atau pun tidak, tahap perpaduan kaum di negara terus tidak menentu dan adakalanya cukup mencemaskan. Politik perkauman yang mewarnai kehidupan kita sejak merdeka lagi meletakkan setiap kaum di negara ini dalam ruang lingkup parti yang berasaskan kaum masing-masing.

Walaupun kita bangga dengan status sebagai sebuah negara majmuk yang hebat, tetapi pada hakikatnya isu perkauman tetap terus menjadi duri dalam daging. Dan ironinya selepas 61 tahun merdeka masalah ini terus berlaku. Jadi besarlah harapan kita agar Malaysia Baharu dapat mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang benar-benar tulen dan boleh bersatu dalam apa jua keadaan sekali pun.

Kita tidak mahu dipisahkan lagi oleh parti politik mahupun ahli politik yang sering menggunakan provokasi perkauman untuk memecahbelahkan rakyat. Ini baru betul-betul membina sebuah rumah baharu di bumi bertuah ini.

Rakyat juga mengharapkan kerajaan Malaysia Baharu dapat mewujudkan pengasingan kuasa yang jelas antara eksekutif, legislatif dan kehakiman. Ketiga-tiga kuasa ini adalah nadi pentadbiran dan pemerintahan negara. Selama ini bermacam-macam cerita kita dengar terhadap campur tangan pihak eksekutif dalam bidang kuasa lain sehingga mengganggu atau mempengaruhi pelbagai keputusan.

Ini menjadi modal politik ketika musim pilihan raya. Hal ini kerana ia dikaitkan dengan elemen pemerintahan yang adil dan telus. Jadi kita cukup tertarik apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri berulang kali mengeluarkan kenyataan dan komitmen bahawa akan memastikan pengasingan kuasa ini berjalan lancar serta sentiasa menghormati pengasingan kuasa yang ada. Jadi semoga Malaysia Baharu memberi tafsiran sebenar terhadap aspek pe­ngasingan kuasa yang sepatutnya berlaku selama ini.

Juga diharapkan amalan politik yang jauh lebih matang, profesional dan adil dapat diterjemahkan melalui semangat dan roh Malaysia Baharu ini. Barisan kepemimpinan baharu negara diharap dapat menjadi suri te­ladan dalam meletakkan batu asas terhadap mewujudkan persekitaran politik yang lebih rasional dan berpaksikan rakyat. Buang jauh-jauh sikap mementingkan diri mahupun parti masing-masing.

Dalam hal ini juga kita harap tiada elemen balas dendam. Kita lega apabila Perdana Menteri baru-baru ini sekali lagi menzahirkan janji dan komitmen bahawa pihak kerajaan tidak akan membalas dendam terhadap seteru politik sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Masalah rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan penyelewengan perlu menjadi musuh tetap dan utama era Malaysia Baharu sepanjang masa. Hakikatnya, isu inilah menjadi duri dalam daging kepada kerajaan terdahulu.

Jadi apakah kerajaan baru ini akan mengulangi kesilapan yang sama atau mampu memberikan harapan baharu kepada rakyat yang sesungguhnya meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada kerajaan Pakatan Harapan ini? Sedarlah betapa Malaysia Baharu tidak akan membawa apa-apa makna andai semua elemen ini tidak dapat dihapuskan dari sistem pentadbiran kerajaan.

Pastikan integriti menjadi perisai setiap anggota pentadbiran kerajaan supaya tidak langsung membuka ruang untuk amalan rasuah dan kronisme. Biarlah sesuatu keputusan itu dibuat atas dasar merit dan kelayakan dan bukannya kerana kawan, kenalan atau sogokan wang ringgit yang diberikan.

Diharapkan Malaysia Baharu akan terus menghormati dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Walau apapun alasan apa yang terkandung dalam perlembagaan perlu terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.

Ini penting kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjadi garis panduan kehidupan rakyat selama ini dan ia perlu diteruskan seperti biasa. Perlu dipastikan tiada pihak yang dengan sengaja mempertikai ataupun mencabuli apa yang terkandung dalam Perlembagaan. Segala usaha untuk mencetuskan provokasi dengan menyentuh isu-isu sensitif perlu dipatahkan segera sebelum menjadi virus yang sukar dikawal kelak.

Harus diingatkan ahli politik datang dan pergi, kerajaan juga boleh bertukar ganti tetapi rakyat dan negara tetap kekal dan perlu terus diperkasakan. Era pentadbiran Malaysia Baharu ini baru berusia dua bulan dan belum pun memasuki detik keramat 100 hari pertama memerintah, jadi memanglah tidak adil untuk meminta bermacam-macam dalam waktu terlalu singkat ini tetapi percayalah inilah harapan keseluruhan rakyat yang seolah-olah mula melihat cahaya di hujung terowong pada 9 Mei lalu. Jadi diharapkan agar Malaysia Baharu dapat benar-benar memenuhi segala harapan dan impian rakyat tersebut.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN