Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 akan berlangsung esok, 16 Julai 2018. Ia adalah satu sejarah bagi kita apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara dengan menggagalkan Barisan Nasional (BN) daripada mempertahankan rekod pentadbiran selama enam dekad yang lalu.
Pada PRU-14, 9 Mei lepas, PH menang melalui tiket majoriti mudah 114 dengan parti-parti komponen yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR –48 kerusi), Parti Tindakan Demokratik (DAP – 42 kerusi), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM – 13 kerusi) dan Parti Amanah Negara (Amanah – 11 kerusi).
Sokongan Parti Warisan dari Sabah menyumbangkan lapan kerusi kepada PH dan seterusnya menjadikan PH mendapat 122 kerusi.
Sementara itu sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari Sarawak menyumbang 19 kerusi lagi dan sekali gus menjadikan majoriti PH semakin meningkat.
Oleh itu, sudah tentu rakyat menanti-nantikan permulaan sidang Parlimen dan seterusnya perbahasan-perbahasan yang akan berlangsung bermula esok, 16 Julai 2018 dan akan berkahir pada 16 Ogos nanti.
Ramai yang menaruh harapan agar PH akan membuat penambahbaikan dalam amalan demokrasi dan pentadbiran negara.
Pada masa sama, persidangan ulung Parlimen ini akan juga menjadi saluran untuk PH menangkis prasangka-prasangka atau kegusaran sesetengah pihak terhadap tindakan kerajaan atau apa juga lantikan jawatan penting yang dilakukan sebelum persidangan Parlimen.
Diharapkan kegusaran rakyat dapat dihapuskan dengan keyakinan yang akan diberikan oleh kerajaan semasa perbahasan nanti.
Pada masa sama saya percaya rakyat juga ternanti-nanti persembahan daripada Ahli Parlimen pembangkang – terutamanya ahli politik BN yang pertama kali menjadi pembangkang dan memegang 54 kerusi – UMNO (51), MIC (2) dan MCA(1). Pas mempunyai 18 kerusi dan beberapa parti dari Sabah masing-masing mempunyai satu kerusi.
Jelas sekali, Parlimen kali ini betul-betul berwajah baharu, bukan kerana kerajaan baharu tetapi 90 kerusi disandang oleh ahli baharu.
Walaupun begitu, dengan kerajaan dan ahli baharu, fungsi Parlimen masih lagi sama seperti dahulu. Cuma, mungkin corak pengendalian fungsi Parlimen itu akan berbeza.
Parlimen kekal sebagai simbol dan forum tertinggi demokrasi dan adalah medan utama untuk mendengar suara rakyat.
Parlimen juga adalah institusi utama yang terletak padanya kuasa dan hak untuk membuat, meminda dan memansuhkan undang-undang (Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan).
Parlimen juga sebagai forum wajib yang meneliti dan mempertanggungjawabkan para eksekutif, terutamanya sifat kebertanggungjawaban barisan Jemaah Menteri kepada setiap individu rakyat.
Hal ini dinyatakan dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan: “(3) Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.” Pada masa sama Parlimen juga merupakan forum utama yang bertanggungjawab meneliti perbelanjaan dan pelaksanaan dasar negara.
Walaupun peranan Parlimen tidak berubah, dua perkara utama yang mahu saya saksikan dalam Parlimen akan datang. Pertama tentang sistem pentadbiran Parlimen itu sendiri dan kedua, tentang pencapaian Parlimen dari segi kualiti perbahasan dan komitmen para Ahli Parlimen.
Mengenai sistem pentadbiran Parlimen, adalah diharapkan supaya kerajaan baharu dapat membawa kebebasan kepada Parlimen untuk mengatur tadbir urusnya sendiri. Amat penting untuk Parlimen mempunyai peruntukan kewangan secara langsung. Hanya dengan menjadi institusi bebas, baharulah Parlimen boleh mencapai segala fungsinya sebagai lambang demokrasi.
Bagi menjamin kebebasan Parlimen, pada tahun 1963, Akta Perkhidmatan Parlimen telah diluluskan sebagai Akta 394. Intipati Akta ini ialah berkaitan kuasa Parlimen mengawal selia institusi tersebut dan memberikan jaminan parliamentary privileges atau kebebasan bersuara dalam Parlimen. Akta ini juga membolehkan Parlimen melantik kakitangannya sendiri.
Forum inklusif
Akta ini juga relevan untuk penubuhan Jawatankuasa Khas bagi perkhidmatan di Parlimen yang seterusnya dapat menjadikan institusi ini sebagai forum inklusif, yang menggabungkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, para pakar bidang dan juga khalayak awam melalui public engagement yang lebih tersusun dan berkesan.
Akta ini walau bagaimanapun telah dimansuhkan pada 20 November 1992. Pada tahun 2005, Parlimen pernah membuat perbincangan untuk menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, namun tiada tindakan susulan oleh kerajaan BN selepas itu.
Saya percaya PH akan melaksanakan proses ini berdasarkan pendekatan PH yang dilihat lebih mesra kepada participative democracy.
Pusat kajian dan penyelidikan Parlimen juga perlu lebih sistematik dengan kualiti dan kuantiti penyelidik bagi membolehkan para Ahli Parlimen mendapat perkhidmatan penyelidikan terbaik sebelum mereka terlibat dalam perbahasan Majlis Parlimen.
Walau apa pun perubahan dalam susun atur dan tadbir urus Parlimen, kejayaan setiap impian kebebasan dan kewibawaan ini adalah bergantung kepada komitmen setiap Ahli Parlimen.
Sekiranya perubahan sistem ini berlaku, para Ahli Parlimen perlu mengoptimumkan penggunaan segala perkhidmatan yang ada untuk meningkatkan kualiti perbahasan dalam Majlis-Majlis Parlimen, termasuk para Senator di Dewan Negara.
Secara ringkas, harapan berkaitan kebebasan dan komitmen Ahli Parlimen ialah kehadiran penuh Ahli Parlimen, sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara apabila perbahasan berlangsung. Walaupun jadual Ahli-Ahli Parlimen semestinya ketat dan padat, tetapi kehadiran mereka ke Parlimen merupakan amanah yang paling besar untuk dilaksanakan setelah dipilih sebagai wakil rakyat yang sekali gus menjadikan mereka penggubal undang-undang negara.
Seterusnya, saya fikir harapan rakyat ialah supaya Parlimen akan datang ini menghasilkan perbahasan yang berwibawa dan berkesan dengan meletakkan kepentingan negara sehingga perbahasan tersebut disahkan oleh rakyat.
Dalam perbahasan-perbahasan tersebut kita mengharapkan lahirnya Ahli-ahli Parlimen yang berfikir ke hadapan dengan meletakkan diri mereka sebagai “penggubal undang-undang” bagi negara dan wakil rakyat yang menggalas amanah dalam meneliti kebertanggungjawab kerajaan kepada rakyat.
Dengan ahli yang baharu dan berwawasan tinggi serta kontemporari, saya percaya Parlimen kali ini akan menjadi lebih kompeten dan berwibawa bukan sahaja membincangkan perihal tempatan, tetapi juga hal-hal global; mereka bukan sekadar menjadi wakil kepada konstituensi dan bercakap politik, tetapi membawa suara rakyat Malaysia keseluruhannya.
Dalam perjalanan mesyuarat Parlimen nanti, adalah diharapkan agar Parlimen juga menjadi suatu tempat yang inklusif, bukan eksklusif kepada perwakilan yang dipilih rakyat.
Parlimen diharapkan dapat melibatkan golongan pakar dari luar parlimen bagi membuat keputusan paling tepat demi kepentingan negara.
Penglibatan pakar-pakar bidang berkaitan isu-isu dalam perbahasan di Parlimen hendaklah diluaskan dengan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa khas bagi perbincangan secara fokus dan terperinci.
Para Ahli Parlimen juga diharapkan dapat memberi tumpuan dan komitmen tinggi kepada perbincangan bersama jawatankuasa ini dan mengambil serius tentang kehadiran dalam mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa.
Kita mengharapkan kerajaan baharu selepas PRU-14 akan menjelmakan perubahan baik dan berkesan kepada kualiti dan pencapaian Parlimen.
* Penulis ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










