KOTA BHARU 14 Julai – Pas berharap agar Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menggunakan Discretionary Power (kuasa budi bicara) berdasarkan undang-undang sedia ada dalam setiap pengendalian kes di Mahkamah Persekutuan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kuasa budi bicara itu penting supaya sebarang kes bersabit hak kedudukan dan keistimewaan Islam seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tidak mendatangkan implikasi negatif.
Takiyuddin berkata, kebimbangan yang timbul dalam kalangan rakyat adalah wajar rentetan sejarah pengendalian kes yang pernah diputuskan oleh bekas Hakim Besar Sabah itu sebelum ini.
“Kuasa Ketua Hakim Negara ini sangat besar sebab beliau boleh menentukan korum hakim yang akan mendengar sesuatu kes. Oleh itu, saya berharap beliau dapat bertindak mengikut budi bicara termasuk mengambil kira hal-hal berkaitan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam adalah agama Persekutuan.
“Banyak kes syariah yang dirujuk di Mahkamah Sivil sebelum ini. Contohnya, seperti Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang perlu dibicarakan di mahkamah berkenaan.
“Ambil sikap (beliau) meneliti serta peka isu-isu berkaitan Islam yang melibatkan kepentingan penduduk majoriti di negara ini dan Pas,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kelab Media Kelantan (Kemudi) di sini semalam.
Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir; Setiausaha Parti Amanah Negara Kelantan; Rushdan Mustafa; Ketua Penerangan PPBM, Zulkifli Zakaria; Setiausaha Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim.
Richard, 65, mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa 11 Julai lalu bagi menggantikan Tun Md. Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, keputusan sama ada Pas akan meletakkan calon atau tidak di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam pilihan raya kecil (PRK), bergantung kepada hasil pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi nanti.
“Sama ada hari ini atau esok pagi kami akan bertemu dengan Ahmad Zahid bagi membincangkan perkara berkenaan kerana kita perlu akur dengan pertembungan satu lawan satu di kerusi berkenaan.
“Kita juga sedar UMNO lebih banyak memperoleh undi berbanding Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan sekalipun pembangkang menang di kerusi itu, ia bukan implikasi besar kepada negeri Selangor,” katanya.










