Harap Khairul Hafiz tidak tercicir - Utusan Malaysia

Harap Khairul Hafiz tidak tercicir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Sekalipun peluang memenangi pingat tipis, namun jurulatih pecut negara, Mohd. Poad Md. Kassim berharap nama Khairul Hafiz Jantan tidak tercicir daripada Sukan Asia bulan depan selepas dia mencatat masa peribadi terbaiknya tahun ini dalam acara 100 meter.

Semalam, Khairul Hafiz mencatat masa 10.28 saat pada kejohanan di Besigheim, Jerman, 0.10s di belakang rekod kebangsaan miliknya, 10.18s yang dilakukan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Poad berkata, catatan 10.28s yang dilakukan Khairul Hafiz semalam adalah satu peningkatan baik selepas dia gagal menyerlah dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, April lalu.

Katanya, temasya di Jakarta-Palembang yang akan berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September merupakan medan terbaik buat Raja Pecut Asia Tenggara itu untuk menimba pengalaman bersaing dengan atlet bertaraf dunia.

“Singapura dan Brunei pun hantar atlet mereka ke sana. Mereka melihat temasya ini sebagai pendedahan dan pelaburan terbaik demi pembangunan sukan mereka.

“Memang peluang Khairul Hafiz untuk dapat pingat di sana agak sukar sebab dia kena bersaing dengan ramai atlet yang mencatat masa di bawah 10 saat.

“Tapi itu tak penting…yang penting dia dapat meraih pengalaman berharga sebab tahun depan kita ada Sukan SEA pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khairul Hafiz sekadar disenarai dalam kategori B ke Sukan Asia, sekali gus berisiko untuk tidak menyertai temasya tersebut kerana ia bergantung kepada kantung kewangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN