Haqiem Rusli teruskan hasrat jadi penyanyi - Utusan Malaysia

Haqiem Rusli teruskan hasrat jadi penyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Julai – Penyanyi Haqiem Rusli , 20, akan meneruskan kerjaya seninya dalam bidang nyanyian selepas memuat naik status dalam Instagram yang menggambarkan dia akan berhenti daripada bidang seni pada 16 Jun lalu.

Haqiem berkata keputusannya untuk berhenti daripada bidang seni bukanlah gimik untuk dia meraih perhatian orang ramai atau sebagai promosi untuk mengeluarkan single baharu. Malah apa yang diungkapkan adalah luahan isi hati akibat tekanan yang dihadapinya.

Tegasnya, pada saat kata-kata itu digarap dalam Instagram, dia masih berfikir sama ada meneruskan kerjaya sebagai penyanyi atau sebaliknya.

Namun selepas dua minggu, Haqiem yang popular dengan lagu Jatuh Bangun itu nekad meneruskan perjuangannya dalam bidang seni selepas mendapat sokongan daripada keluarga dan sahabat serta rakan artis.

“Keputusan saya nak berhenti itu bukan gimik untuk keluar single baharu. Sebenarnya, saya memang dah ada single baharu, cuma tunggu waktu yang sesuai saja untuk dilancarkan tapi itu tidak ada kena mengena dengan apa yang saya muat naik dalam Instagram.

“Saat itu memang saya berbelah bagi, nak teruskan atau tidak kerana tertekan dengan situasi sekeliling yang disebabkan oleh kawan-kawan, netizen dan beberapa hal. Hari ini secara rasmi saya ingin memberitahu pada peminat dan semua orang yang saya mahu meneruskan perjuangan sebagai anak seni dalam bidang ini. Saya akan cuba mengatasi segala cabaran yang mendatang,” katanya kepada Utusan Online.

Jelas Haqiem, dia amat terharu kerana ada rakan-rakan artis dan peminat yang sentiasa menyokongnya dan atas keperihatinan mereka dia mahu terus aktif dalam bidang yang diceburinya sejak usia 10 tahun selepas menyertai program Idola Kecil (TV9) pada 2008. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN