SELEWAT-LEWATNYA bulan hadapan, kertas cadangan bagi menggantikan model lama monopoli Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) terhadap bekalan beras akan dibentangkan Kabinet.
Tiga jawatankuasa khas di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan satu badan induk telah ditubuhkan dalam usaha kerajaan untuk menunaikan satu daripada manifesto Pakatan Harapan bagi menamatkan monopoli Bernas. Model tersebut akan digunakan selepas tamat konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras negara pada 2021.
Kesungguhan kerajaan PH dalam menghurai persoalan Bernas ini, ternyata jauh lebih pantas, lebih fokus dan lebih berani berbanding mengotakan janji menurunkan harga minyak, menurunkan harga barangan makanan dan banyak lagi janji-janji manifesto.
Secara teknikalnya, kerajaan PH ada sehingga 19 Ogos ini iaitu genap 100 hari untuk memenuhi semua janji itu walaupun semakin jelas ia akan menjadi sesuatu yang semakin sulit untuk dikotakan. Itulah bila dalam soal Bernas, kepantasan luar biasa mereka bekerja wajar diberi fokus oleh rakyat.
Apa masalah Bernas?
Inilah janji kerajaan PH untuk menarik undi golongan petani dan pesawah padi semasa pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu, yang mendakwa Bernas bermasalah.
Apakah sebenarnya Bernas? Bernas adalah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994. Ia mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) apabila ditubuhkan pada 1971 bagi mengawal harga padi demi kepentingan petani dan pengguna beras yang sebelum itu dikuasai oleh orang tengah.
Fungsi LPN cukup jelas memberi sumbangan yang amat besar kepada petani/pesawah di Malaysia yang 99 peratus terdiri daripada orang Melayu. LPN berjaya menghapuskan lintah darat (orang tengah) serta menstabilkan harga padi dan harga beras kepada pengguna tidak dapat dinafikan untuk kepentingan petani dan pengguna.
Dari situ, Bernas menyambung peranan utama dalam mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara, di samping mengambil alih tanggungjawab sosial dan komersial yang selama ini dipikul oleh LPN.
Ini termasuk mewakili pihak kerajaan dalam pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani, mengurus Skim Pengilangan Padi Bumiputra, membeli padi daripada petani pada harga minimum terjamin dan bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani.
Bernas disenaraikan
Pada 25 Ogos 1997, Bernas mencatatkan satu lagi peristiwa bersejarah apabila disenaraikan di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur. Bernas terus berkembang melalui integrasi rantaian pembekalannya bersama pengusaha-pengusaha di peringkat antarabangsa bagi sektor pemborongan, perladangan, pemprosesan dan pengedaran.
Sebagai sebuah badan korporat, Bernas bertanggungjawab untuk memastikan penyediaan bekalan beras yang berterusan dengan harga yang berpatutan kepada rakyat Malaysia dengan mengoptimumkan rangkaian pembekalan, infrastruktur dan rangkaian pengedaran syarikat.
Syarikat turut memberi perhatian kepada pengurusan alam sekitar melalui penekanan kepada pembuangan sekam padi yang efektif di samping mempelbagai hasilan syarikat dengan memaksimumkan potensi produk-produk sampingannya.
Pada 26 April 2011, Bernas mengumumkan kerajaan persekutuan telah memanjangkan tempoh pengedaran beras selama 10 tahun bermula dari 11 Januari 2011 hingga 10 Januari 2021.
Pada 30 Julai 2009 syarikat pelaburan dari Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd. (Wang Tak) telah berjaya mendapatkan ekuiti sebanyak 31 peratus menerusi pasaran terbuka tetapi Bernas perjelaskan bahawa kepentingan semua pihak yang terdiri daripada petani, pengilang, pemborong, pengguna dan pemegang saham adalah dilindungi.
Selepas itu, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary melalui Tradewinds memiliki 53.7 peratus ekuiti Bernas bersamaan dengan RM526 juta tunai. Ini menyebabkan satu tawaran lain yang menyaksikan Tradewinds akhirnya menguasai 72.57 peratus kepentingan ekuiti di dalam Bernas.
Apabila Syed Mokhtar mengambil alih Bernas pada 2009, beliau sebenarnya menyelamatkan organisasi itu daripada dimiliki oleh entiti asing. Bagaimanapun, beliau telah membayar harga yang begitu tinggi untuk memastikan kepentingan Malaysia terpelihara.
Hapus orang tengah
Industri padi sebelum ini, pada hakikatnya dikawal oleh orang tengah yang tamak haloba. Dan kerajaan Malaysia pada ketika itu menggunakan Bernas untuk mematikan segala tindak tanduk orang tengah. Malangnya, Bernas sering dijadikan kambing hitam apabila timbul isu membabitkan petani Malaysia serta industri beras.
Kini, kerajaan Pakatan Harapan melihat kepentingan untuk menghapuskan monopoli – namun, secara tidak langsung, langkah ini mungkin melenyapkan segala usaha Bernas selama ini untuk melepaskan petani padi dari cengkaman orang tengah.
Di samping itu, jika konsep monopoli atau central importer dihapuskan, tiadalah simpanan bekalan beras (rice stockpiling) kerana ini tidak merupakan kepentingan orang tengah yang mengamalkan manipulasi harga beras. Sebenarnya 63 buah negara di seluruh dunia mempraktikkan konsep central importer bagi menutup rangkaian orang tengah yang meraut keuntungan yang melampau.
Faktor Syed Mokhtar
Bila diperhatikan tahun-tahun yang tercatat membabitkan Bernas ini, jelas kebanyakannya evolusi kewujudan Bernas berlangsung sewaktu pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, apatah lagi bukan suatu rahsia lagi bagaimana kearaban hubungan beliau dengan Syed Mokhtar selama ini.
Bagi Tun Dr. Mahathir, Syed Mokhtar adalah contoh usahawan Melayu yang telah berjaya hasil daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) berbanding orang lain yang diberi peluang tetapi mensia-siakannya. Syed Mokhtar adalah seorang yang tekun dan berjaya mengembangkan perniagaannya menjadi satu empayar meliputi pelbagai sektor industri di negara ini.
Jaminan yang diperoleh hasil hubungan akrab Dr. Mahathir ini ialah Syed Mokhtar berkongsi wawasan dan komitmen untuk kembali membantu orang Melayu sama ada dalam perniagaan mahu pun pendidikan.
Hubungan kedua-dua tokoh ini juga menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati industri. Apakah motif sebenar kerajaan PH mahu menghapuskan monopoli Bernas? Sebenarnya, perkataan monopoli juga adalah istilah rambang kerana sejarah asal Bernas ialah menggantikan fungsi LPN yang menguruskan serba-serbi hal pengeluaran padi beras negara.
Kerajaan PH amat arif bahawa menggunakan istilah bombastik seperti ‘monopoli’ pasti memenangi simpati dan sokongan rakyat. Labelkan ‘monopoli’ terhadap sesiapa sahaja, sekelip mata entiti itu menjadi ‘pesalah’ yang amat sukar mempertahankan diri.
Pemerhati industri pula melihat sudut hubungan Syed Mokhtar dengan Perdana Menteri sekarang. Mungkin bilionair tersebut tidak akan berbuat apa-apa atau mungkin akan bertindak di belakang tabir. Syed Mokhtar amat jarang menggunakan media dalam urusan perniagaannya. Aspek ini diserahkan kepada para pengurus yang digajinya di syarikat-syarikat miliknya. Sejauh mana mereka berkesan, itu soalan lain.
PM tahukah?
Disebabkan jentera kerajaan sekarang baharu berusia dua bulan, rakyat belum nampak wujud penyelarasan. Yang berbicara banyak mengenai hal Bernas adalah menteri berkaitan, sedangkan Perdana Menteri tidak atau belum mengulas mengenainya.
Apakah Perdana Menteri akan menjaga kepentingan ahli perniagaan yang rapat dengannya itu, masa akan menentukan. Namun apa yang nyata ialah Perdana Menteri sedar akan timbul desakan baharu daripada rakyat bahawa jika ‘monopoli’ pengeluaran padi beras negara dihapuskan, maka monopoli dalam serba-serbi lain harus juga dilakukan serupa.
Mana boleh beras sahaja mahu dirungkai. Monopoli dalam produk atau perkhidmatan lain harus juga diberi perhatian sama berat, sama pantas dan sama fokus oleh kerajaan PH sebagaimana mereka lakukan terhadap Bernas. Takut nanti rakyat kata kerajaan PH pun bertindak ikut pilih bulu sahaja.










