Hanya RM30 terkumpul - Utusan Malaysia

Hanya RM30 terkumpul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 27 Julai – Hanya RM30.

Hanya RM30 terkumpul
Mohd. Abdul Karim Khan

Begitu jumlah yang terkumpul selepas dua hari Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) melancarkan Tabung Khas Dana bagi membantu meringankan beban kewangan persatuan bola sepak itu.

Situasi tersebut ternyata mengecewakan ketika PFA bersungguh-sungguh mengambil inisiatif untuk bersama-sama penyokong membangunkan kembali pasukan bola sepak negeri itu.

Di saat PFA sedang berhadapan cabaran untuk memulihkan kembali skuad Singa Utara seterusnya kekal bersaing dalam Liga Malaysia musim hadapan, penyokong atau rakyat di negeri ini sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk turut sama membantu dan bukan hanya sekadar tahu mengkritik semata-mata.

Rabu lalu, PFA melancarkan Tabung Khas Dana PFA di Facebook Perlis FA Official

selepas mengambil kira cadangan dan pandangan daripada peminat-peminat setia Singa Utara yang masih sayangkan pasukan bola sepak negeri ini.

Walau bagaimanapun setakat pukul 5 petang semalam, jumlah kutipan yang terkumpul ialah RM30 dan tabung bantuan berkenaan akan terus dibuka untuk para penyokong menghulurkan sumbangan.

Sementara itu, Pemangku Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan mengucapkan terima kasih kepada para penyokong setia Singa Utara yang sanggup memberikan sokongan untuk menyelamatkan pasukan bola sepak negeri ini.

Dalam masa sama, Abdul Karim menyeru para penyokong untuk tampil memberikan sumbangan.

“Di dalam Facebook Perlis FA Official sahaja, kita sudah mempunyai lebih 18,000 pengikut, jika setiap seorang daripada mereka menyumbang RM1 atau RM10 setiap bulan, kita sudah mampu mengumpul RM18,000 atau RM180,000.

“Melihat kepada jumlah itu, cukup untuk membantu pembangunan bola sepak negeri ini. Kita mengambil pendekatan untuk bersama penyokong dalam mengembalikan zaman kegemilangan skuad Singa Utara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Abdul Karim, pihaknya bukan mahu menagih simpati, sebaliknya apa yang dilakukan PFA ini adalah untuk masa depan pembangunan bola sepak negeri.

“Sebelum ini, kita ada menjalankan satu kaji selidik secara kasar di Facebook mengenai cadangan untuk membubarkan PFA, tetapi majoriti peminat bola sepak negeri ini membantah cadangan terbabit.

“Kita sentiasa komited untuk mencari jalan penyelesaian dalam memastikan imej bola sepak negeri ini kembali ke puncak kegemilangannya seperti dulu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN