KUALA LUMPUR 19 Julai – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa dalam tempoh 70 hari sejak mengambil alih pentadbiran negara, hanya dua daripada 10 janji telah mula dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Perdana Menteri berkata, enam janji sedang ditunaikan, manakala dua lagi belum dimulakan langkah pelaksanaannya.
Beliau menegaskan, apa yang penting ketika ini adalah untuk memperbetulkan kerosakan yang berlaku ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Tumpuan bukan hanya pada 10 janji ini, dalam 100 hari banyak kerja perlu dilaksanakan kerajaan.
“Yang utama tindakan bersihkan kerosakan hasil rasuah, salah guna kuasa yang dilakukan jentera kerajaan terdahulu,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dr. Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu sama ada janji-janji 100 hari Pakatan Harapan setelah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan ditunaikan.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai sama ada janji dalam manifesto akan ditunaikan atau hanya sebagai panduan, Perdana Menteri secara sinis menyatakan beliau tidak sedar bahawa manifesto itu dianggap sebagai kitab suci.
Dr. Mahathir menerangkan, kerajaan mendapati beberapa rintangan yang perlu diatasi terlebih dahulu sebelum janji-janji dapat ditunaikan, antaranya melibatkan aspek perundangan.
“Kalau kami berdosa, kami tanggunglah. Tetapi tidak anggap manifesto sebagai al-Quran atau Bible,” jelasnya.










