PETALING JAYA – Demi memastikan keselamatan pemain terjamin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menghantar seorang pegawai keselamatan untuk mengiringi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan ke Sukan Asia 2018 di Indonesia bulan depan.
Perkara itu disahkan ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee selepas beliau dimaklumkan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Kim Swee berkata, langkah FAM menghantar seorang pegawai keselamatan itu mampu meningkatkan tahap keselamatan pasukan sekali gus membantu pemain memberi sepenuh tumpuan terhadap saingan di Indonesia.
“Saya telah dihubungi Presiden FAM dan dimaklumkan bahawa kita akan mendapat seorang pegawai keselamatan untuk bersama pasukan di mana kita tahu keadaan amat tegang di sana (Indonesia).
“Apa paling penting ialah keselamatan pemain dan pegawai. Jika kita mempunyai perancangan dari segi keselamatan dengan adanya pegawai keselamatan ini, saya percaya beliau mempunyai perancangan tertentu jika berlaku sebarang kemungkinan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad B-23 negara di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini. – Bernama











