Hantar pakaian siap ala Uber - Utusan Malaysia

Hantar pakaian siap ala Uber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali memandang pokok bunga fairy lily di halaman rumahnya yang terletak di Kajang, Selangor hati Norwati Abd. Aziz, 47, terdetik untuk membuangnya.

Tumbuhan daripada genus bawang itu hanya tinggal akar dan beberapa helai daun yang telah kering. Pasunya juga sudah lama pecah selain tiada langsung tanah yang menjadi komponen penting pertumbuhannya.

Namun, hasrat itu sering tertangguh dek kesibukan rutin seharian. Suatu pagi ketika Norwati tekad untuk menunaikan niatnya, pokok itu mengeluarkan empat kuntum bunga baharu berwarna merah jambu.

Peristiwa enam tahun lalu itu menjadi ilham untuk Norwati dan suaminya Muhammad Sobur Mohd. Shariff, 47, menamakan syarikat perniagaan jahitan mereka sebagai Fairy Lily Tailoring yang ditubuhkan pada tahun sama.

“Semasa itu kami sedang memikirkan nama yang sesuai untuk kedai jahit yang baru beroperasi di Semenyih, Selangor. Ia bagaikan petunjuk yang begitu bermakna buat kami.

“Bagi kami bunga yang sudah hendak mati itu merupakan simbolik perjuangan dan kesinambungan kehidupan. Bila jatuh, kita perlu bangkit dan teruskan hidup,” imbaunya kepada Kosmo! ketika ditemui di premis jahitan yang terletak di Taman Ostio Bangi, Selangor.

Bercerita lanjut, Norwati memulakan bisnesnya dengan memperkenalkan produk selendang segera yang dijahitnya sendiri bersama seorang pekerja.

Ketika itu, ibu kepada dua cahaya mata itu masih bekerja sebagai pelukis pelan di sebuah syarikat minyak dan gas di ibu kota sebelum meletak jawatan empat tahun lalu. “Saya sebenarnya sudah mempunyai kebolehan menjahit pada usia 15 tahun. Ketika remaja, saya sering membantu arwah ibu, Marliah Othman menyiapkan tempahan pakaian seperti baju kurung, baju Melayu cekak musang, baju Melayu Johor, gaun kanak-kanak dan langsir.

“Selama 25 tahun bekerja saya jarang mempunyai kesempatan menjahit. Tetapi ilmu jahitan yang diajar ibu tidak pernah saya lupakan,” imbau anak ketiga daripada lima beradik yang berasal dari Sungai Buaya, Rawang, Selangor itu.

Tidak lama selepas berniaga tudung di Semenyih, Norwati memindahkan operasi perniagaannya ke Bangi Gateway, Selangor yang terkenal sebagai hab fesyen dengan menyewa tapak niaga kecil seluas 3×2.4 meter persegi.

Tiga tahun di Bangi Gateway beliau kemudiannya menyewa sebuah lot kedai dan memulakan projek butik vendor. Konsepnya ialah menyediakan pakaian mengikut cita rasa, reka bentuk, label fesyen dan pilihan fabrik terdiri daripada 10 orang vendor yang bekerjasama dengan Norwati.

Vendor

Baginya, suami yang bekerja dalam sektor perbankan menjadi tulang belakang dalam membangunkan perniagaannya terutama dari aspek teknikal dan pengurusan kewangan.

“Kebanyakan vendor ialah rakan-rakan termasuk bekas ketua di tempat kerja lama dahulu. Istimewanya, kami hanya menyediakan sehelai sampel pelbagai saiz serta pelanggan yang ingin membeli boleh membuat ukuran badan di butik dan kami akan jahit secara eksklusif untuk mereka.

“Kalau material pakaian habis saya sendiri akan beli dan vendor tidak perlu bersusah payah datang ke kedai untuk tujuan tersebut kerana kami mempunyai sistem seperti penggunaan kod bar yang membantu data urusan jual beli direkodkan secara sistematik,” ujarnya.

Konsep perniagaan unik tersebut menarik minat Kraftangan Malaysia yang sedang mencari produk fesyen unik di Bangi Gateway untuk acara Warna-Warni Aidilfitri yang diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada tahun 2015.

Sebagai satu-satunya pengusaha yang menawarkan perkhidmatan menjahit pakaian pada karnival jualan selama 10 hari itu, Norwati memperkenalkan pakej tempahan pakaian yang siap dalam 24 jam untuk memenuhi permintaan pelanggan selama tiga tahun berturut-turut.

Ini kerana ada antara pelanggan yang datang dari jauh atau mempunyai kekangan masa untuk menunggu atau mengambil tempahan mereka. Justeru, beliau turut memperkenalkan khidmat penghantaran ala Uber terus ke rumah pelanggan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Kelas jahitan

Paling manis, pihaknya berjaya menyiapkan baju kurung yang ditempah oleh seorang pelancong dari Washington, Amerika Syarikat hanya kira-kira empat jam kerana pelanggan tersebut mahu pulang ke negaranya.

Hari ini, Fairy Lily Tailoring telah mengembangkan operasinya dan mempunyai tiga bengkel jahitan iaitu di Taman Cahaya, Ampang serta Bangi, Selangor selain di Felda Titi, Jelebu, Negeri Sembilan yang digerakkan oleh tenaga kerja tempatan.

Meskipun mendapat tempahan sekitar 300 hingga 500 pasang pada musim perayaan, Norwati hanya mempunyai tujuh tukang jahit yang bertugas secara tetap selain mengupah tukang jahit sambilan yang terdiri daripada suri rumah dan belia berkemahiran pada masa-masa tertentu.

Selain itu, Norwati turut menganjurkan kelas jahitan dengan hanya bayaran keahlian RM60 seumur hidup. Setelah itu, pelajar boleh mengikuti kelas dengan bayaran serendah RM120 sebulan mengikut jenis pakaian meliputi enam kelas selain mendapat kain empat meter dan peralatan jahitan.

“Dalam tempoh sebulan itu kita akan mengajar satu jenis baju sahaja sebelum ditukar pada bulan berikutnya. Mereka boleh memilih jadual kelas dan belajar secara persendirian dengan kami.

“Begitupun pengambilan pelajar terhad kepada antara lima hingga enam pelajar. Biasanya mereka yang tekun dan mempunyai minat mendalam empat sesi sudah memadai untuk mereka pandai menjahit sehelai baju.

“Harapan kami, mereka dapat menggunakan kemahiran itu untuk menambah pendapatan atau menjimatkan perbelanjaan dengan menjahit pakaian untuk diri sendiri dan ahli keluarga,” tuturnya.

Menurut seorang kakitangan Fairy Lily, Isenin Nadzin, 43, yang pakar menjahit pakaian lelaki seperti baju Melayu moden serta tradisional, kurta dan jubah berkata, beliau mampu menjahit antara tiga hingga lima pasang sehari.

“Pemotongan baju dibuat menggunakan mesin dan kerja-kerja menjahit sepasang baju mengambil masa sekitar tiga jam atau kurang daripada empat jam. Prinsip saya ialah jahit dengan cepat dan kemas. Ia bukan satu masalah besar kerana kemahiran ini sudah sebati dengan diri saya.

“Lagipun sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menyiapkan tempahan mengikut tempoh yang dijanjikan. Saya mula bekerja dari pukul 11 pagi hingga pukul 6 petang pada hari biasa.

“Jika tempahan banyak saya biasanya pulang pukul 2 atau 3 pagi. Selalu juga saya bawa balik kain untuk sambung jahit di rumah,” kongsinya yang menjadikan menjahit sebagai kerjaya sejak 23 tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN