KUALA LUMPUR 23 Julai – Kerajaan disaran mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pemegang kepentingan lain terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Naib Presiden Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah sedemikian bertujuan memastikan cadangan pemansuhan akta berkenaan tidak akan membawa kepada peningkatan kadar jenayah dan aktiviti keganasan.
“Walaupun kita semua sentiasa menyokong hak asasi manusia dan memastikan hak-hak mereka yang mungkin ditangkap turut dilindungi, adalah penting untuk kita melindungi hak-hak mangsa jenayah.
“Kita menghormati niat baik Perdana Menteri dan menjadi harapan kita yang beliau akan mengadakan rundingan secara mendalam dengan polis dan pihak berkepentingan lain sebelum meneruskan rancangan untuk memansuhkan SOSMA,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu memansuhkan SOSMA bagi memberi keadilan kepada rakyat.
Dr. Mahathir berkata, SOSMA yang diperkenalkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membenarkan kerajaan menangkap sesiapa sahaja tanpa perlu mendapatkan perintah mahkamah.
SOSMA diluluskan oleh Dewan Rakyat pada April tahun lalu dan dikuatkuasakan bagi menahan individu disyaki terbabit dalam aktiviti mengancam keselamatan negara selama 28 hari tanpa dihadapkan ke mahkamah.
Usul itu diluluskan menerusi proses undi belah bahagi dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika itu mengumumkan sebanyak 77 undi menentang dan seramai 93 ahli Parlimen menyokong. – UTUSAN ONLINE











