KUCHING – Seorang guru wanita rentung manakala dua lagi melecur apabila dua kuarters kediaman Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu di Miri terbakar semalam.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad berkata, berdasarkan laporan awal, dua guru wanita yang melecur itu masing-masing dikenali sebagai Syuhadah dan Siti Masrina.
Syuhadah mengajar di SK Penghulu Baya Mallang tetapi sekolah tempat Siti Masrina mengajar belum diketahui.
Mangsa yang terkorban pula dikenali sebagai Catherine Janet Tiwi, 25.
Catherine dikatakan baru dua tahun menjadi guru dan anak kepada anggota bomba yang bertugas di Balai Bomba Bau.
Beliau berkata, dalam kejadian pada pukul 5.09 pagi, api dipercayai bermula di ruang tamu berhampiran dapur salah sebuah kuarters tersebut.
Difahamkan, kedua-dua kuarters itu mempunyai lapan penghuni iaitu lima individu di kuarters pertama dan tiga lagi di kuarters kedua,” jelasnya.
Nor Hisham memberitahu, mengikut maklumat saksi, mangsa dikatakan masuk semula ke dalam kuarters berkenaan tetapi gagal keluar semula kerana terperangkap dalam api tebal.
Katanya, kerja-kerja memadam kebakaran dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Mulu.
Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Gabriel Risut pula berkata, mangsa maut dalam kebakaran itu kerana mahu menyelamatkan dua orang rakan gurunya.
Katanya, menurut saksi sebelum kebakaran berlaku, bekalan elektrik terputus dan api merebak dari bahagian dapur dengan pantas.
“Dalam keadaan kelam-kabut keluar menyelamatkan diri, mangsa cuba mengeluarkan dua guru yang berada di dalam sebuah bilik namun beliau tidak sempat menyelamatkan diri,” ujarnya.










