JOHOR BAHRU 15 Julai – Seorang guru maut selepas motosikal ditunggangnya terperosok di bawah sebuah lori dalam satu kemalangan di Kilometer ke-22 Jalan Johor Bahru menuju Pontian, dekat sini, kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Selain mangsa yang merupakan penunggang motosikal, kemalangan turut membabitkan sebuah kereta dan sebuah lagi motosikal yang mana penunggangnya turut cedera parah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu lori dari arah Johor Bahru ke Pontian ingin mengelak sebuah kereta lain yang berhenti di lorong kiri kerana terlibat kemalangan terlebih dahulu.
“Ketika ingin mengelak, lori itu telah terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan dan melanggar motoikal ditunggang mangsa berusia 24 tahun dan sebuah kereta yang ketika itu dari arah Pontian menghala ke Johor Bahru.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa lelaki tersebut terseret ke bawah lori. Susulan itu seorang lagi penunggang berusia 42 tahun dengan motosikal yang lain terjatuh di tengah laluan. Mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Mohd Taib berkata, ketika polis tiba di tempat kejadian, pemandu lori yang berusia 58 tahun sudah melarikan diri sebelum ditahan beberapa jam selepas itu. – UTUSAN ONLINE










