Guru direman tujuh hari - Utusan Malaysia

Guru direman tujuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Julai – Seorang guru lelaki berusia 53 tahun direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes cabul terhadap murid perempuan darjah empat di sebuah sekolah di Ampang dekat sini, Mei lalu yang tular dalam media sosial.

Perintah reman sehingga 25 Julai ini dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret, Roslan Md. Nor mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah semasa guru berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini.

Guru terbabit yang ditangkap kira-kira pukul 2 petang, semalam di sekitar Ampang disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, ibu kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu telah membuat laporan polis pada Jun lalu mengenai kejadian tersebut setelah dimaklumkan oleh anaknya.

Sementara itu, kejadian tersebut juga tular dalam Facebook dengan menyatakan mangsa dikatakan telah diajak oleh guru tersebut ke dalam sebuah bilik di sekolah itu dengan alasan membantu merekodkan markah.

Namun, ketika di dalam bilik itu, guru tersebut menarik tangan mangsa secara kasar dan memaksanya duduk di atas pahanya serta memegang paha, dada dan kemaluan murid perempuan itu.

Ketika kejadian, terdapat tiga murid lain yang berada di dalam bilik itu yang turut menyaksikan kejadian berkenaan dan difahamkan beberapa murid lain di sekolah terbabit telah tampil dan memberitahu mereka turut menjadi mangsa cabul kepada guru berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN