SEMALAM, negara jiran kita, Indonesia digemparkan dengan berita gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter yang menggegarkan Pulau Lombok.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi itu turut menggemparkan rakyat Malaysia khususnya buat para pendaki tegar apabila rakan mereka Siti Nor Ismawida Ismail terkorban dalam bencana itu di Gunung Rinjani.
Seramai 19 orang rakyat Malaysia mendaki Gunung Rinjani sebelum kejadian gempa bumi itu berlaku.

Bukan sahaja rakyat Malaysia, malah ramai lagi pendaki dari negara lain turut berada di sana ketika gempa bumi itu berlaku.
Menurut pihak berkuasa tempatan, Gunung Rinjani menerima lebih 10,000 pendaki setiap tahun.

Lombok, Indonesia bukanlah tempat pelancongan yang lazim bagi rakyat Malaysia, hanya baru-baru ini sahaja kepulauan itu menjadi tular selepas gambar-gambar menarik lokasi percutian itu dimuatnaik dalam media sosial.
Kepulauan yang terletak berhampiran dengan Bali itu menjadi tumpuan kerana ia menyajikan pemandangan yang hijau dan menyegarkan kepada para pelancong terutama bagi kaki-kaki ‘hiking’.

Betul, terdapat sebuah gunung yang terkenal di Lombok. Ia bukan sahaja terkenal dalam kalangan pendaki di Malaysia malah menjadi tumpuan pendaki seantero dunia.
Gunung Rinjani merupakan gunung ke dua tertinggi di Indonesia. Dengan ketinggian 3,762 meter, gunung berapi itu menjanjikan pemandangan menarik kepada pendaki yang berjaya sampai ke puncaknya.
Apa yang dapat disaksikan dari Gunung Rinjani?

Gunung Rinjani mempunyai lebih 20 air terjun serta kolam air panas semulajadi yang dikenali sebagai Air Kalak. Ia mempunyai banyak kolam kecil dengan suhu air yang berbeza.
Di puncaknya, tiada sebatang pokokpun akan menghalang pemandangan, malah pendakinya boleh melihat keindahan kawah Gunung Batujari yang dikelilingi oleh tasik Segara Anak. Sungguh menakjubkan.
Selain air terjun dan kolam air panas, Gunung Rinjani juga menyimpan khazanah alam iaitu Gua Susu dan Gua Payung Mas. Sebab itulah gunung itu menjadi tumpuan dunia.

Bagi mereka yang gemar melihat pemandangan matahari terbit atau terbenam, Gunung Rinjani menjanjikan pemandangan tanpa batasan.

Anda boleh menyaksikan matahari terbit dan terbenam di kaki langit yang luas serta boleh dilihat sekeliling tanpa batasan sambil menikmati kedinginan tiupan angin antara 12 hingga 20 darjah celcius. – UTUSAN ONLINE











