Gubal hukuman lebih berat dera kanak-kanak - Utusan Malaysia

Gubal hukuman lebih berat dera kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA sangat terkesan dengan kes penderaan sehingga meragut nyawa kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Muhammad Luthhakim Abdullah di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Suspek yang menyebabkan kematian kanak-kanak itu dikatakan pernah ditahan atas dakwaan mendera mangsa tetapi dilepaskan kerana tidak cukup bukti. Laporan akhbar turut menyebut suspek mengasuh tiga kanak-kanak sebagai sumber pendapatan.

Memang tidak wajar untuk kita menghukum sebelum suspek dibawa ke muka pengadilan tetapi bagi saya masalah utama adalah hukuman tidak setimpal membuatkan tiada siapa takut untuk mendera kanak-kanak asalkan tidak membawa maut.

Kerap kali saya melihat ibu bapa memukul anak-anak kecil dengan teruk di khalayak ramai disebabkan kesilapan atau kecuaian kecil kanak-kanak tersebut.

Hukuman menampar, menendang mahupun mencucuh api rokok tidak boleh diterima walau dalam apa jua keadaan apatah lagi dalam zaman pemahaman pelbagai masalah perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak sudah dikenal pasti.

Saya lihat ibu bapa anak autisme, attention deficit hyperactivity disorder (ADHD), lembam dan banyak lagi masalah melayan anak bagai menatang minyak yang penuh.

Namun, ramai juga ibu bapa yang tidak memahami masalah dihadapi anak dan terus menganggap anak mereka buas, nakal dan tidak mendengar cakap seterusnya memberi ‘habuan’ tangan dan kaki sebagai pengajaran.

Harap kerajaan khususnya Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga mencadangkan peruntukan hukuman lebih tinggi daripada yang sedia ada bagi mengekang kes penderaan kanak-kanak daripada terus berleluasa.

Tanpa hukuman setimpal, tiada siapa akan takut untuk melakukan jenayah apatah lagi jenayah terhadap anak-anak kecil yang tidak mampu mempertahankan diri.

BAPA TUNGGAL

Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN