Guardiola yakin prestasi City kekal - Utusan Malaysia

Guardiola yakin prestasi City kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHICAGO, Amerika Syarikat – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola yakin prestasi skuad The Citizens kekal pada tahap terbaik walaupun majoriti daripada pemain utamanya masih direhatkan selepas menunaikan tanggungjawab bersama skuad kebangsaan masing-masing di pentas Piala Dunia 2018.

Ekoran ketiadaan pemain tonggak, Guardiola terpaksa membawa pemain mudanya beraksi pada perlawanan pra musim di Amerika Syarikat yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Dortmund pada aksi pertama pramusim awal pagi semalam.

“Sekiranya pemain utama saya masih keletihan walaupun tempoh rehat mereka sudah tamat, mereka dibenarkan meminta cuti dalam tempoh yang lebih lama. Ini kerana, saya mahu mereka betul-betul cergas sebelum kembali bersama kami.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan para pemain tetap cergas serta konsis­ten walaupun mereka gagal menghadirkan diri pada aksi pra musim. Malah, ini bukan kali pertama saya berdepan situasi seperti ini, saya pernah melaluinya ketika berada di Barcelona dan Bayern Munich.

“Kira-kira 70 peratus daripada pemain utama terlibat dengan perlawanan antarabangsa dan mereka hanya akan tiba di sini kira-kira seminggu sebelum musim baharu membuka tirai,” katanya.

Sebagai rekod, seramai 16 pemain utama City diberikan cuti rehat selepas beraksi di Piala Dunia.

Pemain-pemain tersebut ialah Ederson Moraes, Benjamin Mendy, Danilo, Kyle Walker, John Stones, Nicolas Otamendi, Vincent Kompany, Ilkay Gundogan, Kevin De Bruyne, Fabian Delph, Bernardo Silva, Fernandinho, David Silva, Raheem Sterling, Gabriel Jesus dan Sergio Aguero.

“Skuad City masih kuat dan sama seperti musim lalu. Kami hanya kehilangan Yaya Toure dan posisi­nya boleh diisi oleh beberapa pemain lain seperti Fabian Delph,” jelasnya.

Pada aksi menentang Dortmund, gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Mario Gotze menerusi sepakan penalti. Saingan tersebut juga menjadi debut pemain baharu City, Riyad Mahrez. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN