Greece terbakar - Utusan Malaysia

Greece terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS 24 Julai – Sekurang-kurangnya 74 orang terbunuh dalam beberapa siri kebakaran hutan yang merebak dengan pantas berhampiran ibu negara ini, semalam ketika Greece berdepan dengan krisis kebakaran terburuk sejak lebih sedekad.

Menurut Palang Merah, 26 mayat ditemukan di pekarangan sebuah vila di kampung tepi laut, Mati kira-kira 40 kilometer timur laut Athens yang menjadi pusat bencana dengan kebanyakan mangsa ditemukan sama ada di dalam rumah atau kereta.

Jurucakap kerajaan, Dimitris Tzanakopoulos berkata, pihak berkuasa sedang giat memindahkan penduduk dan pelancong terperangkap ketika usaha mencari mangsa diteruskan.

“Sebanyak 15 kebakaran bermula serentak di tiga bahagian berbeza di Athens,” katanya, mendorong Greece meminta bantuan dron dari Amerika Syarikat (AS) untuk memantau dan mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Sebanyak sembilan buat bot pengawal pantai, dua kenderaan tentera dan berpuluh bot peribadi dibantu oleh helikopter tentera digerakkan bagi membantu mereka yang terperangkap di pelabuhan di Rafina, satu daripada kawasan terjejas terus berhampiran Mati.

Penduduk dipindahkan ke hotel dan kem tentera ketika ahli keluarga yang bimbang membanjiri kawasan itu.

“Kami akan melakukan apa sahaja yang mungkin untuk mengawalnya,” kata Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras sebagaimana lapor BBC.

Beliau memendekkan lawatannya ke Bosnia bagi membantu menyelaras situasi bencana dengan bomba menyifatkan kebakaran itu amat sukar.

Pihak berkuasa pelabuhan dalam pada itu berkata, mereka menemukan empat mayat di laut termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak yang dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran.

Terdapat kebimbangan angka korban kebakaran akan mening­kat kerana banyak orang yang masih hilang dan pihak kajicuaca meramalkan pasukan penyelamat berdepan situasi sukar walaupun hujan dan suhu dilaporkan turun di Athens, hari ini.

Ketua bomba Athens, lebih 300 anggota bomba, lima pesawat dan dua heliko­pter dikerah bagi menangani situasi sukar kebakaran di bahagian utara. – AFP/AGENSI

Sementara itu, kerajaan Greece meminta perjanjian perlindungan awam Kesatuan Eropah bagi mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan blok terbabit selepas keadaan kering di negara ini memungkinkan lebih banyak kebakaran berlaku.

Rakaman video menunjukkan penduduk menyelamatkan diri dengan menggunakan kereta dengan beberapa bangunan dan rumah musnah ketika daerah Attica yang termasuk dalam Athens mengumumkan perintah darurat.

“Jika saya tidak lari, saya akan rentung,” kata seorang warga emas berusia 67 tahun, Maria. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN