Generasi muda kurang makan buah-buahan - Utusan Malaysia

Generasi muda kurang makan buah-buahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Rakyat negara ini khususnya golongan muda didapati semakin kurang mengambil buah-buahan sebagai makanan rutin dengan purata perkapita pengambilan sekitar 63 kilogram (kg) setahun berbanding masyarakat di luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata secara purata rakyat negara ini hanya makan buah-buahan sekitar 120 gram sehari atau 1kg seminggu dan 5kg sebulan.

“Jumlah ini lapan kali ganda jauh lebih rendah berbanding sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan pengambilan buah-buahan dalam kehidupan seharian sekitar 400kg setahun,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kempen Lebihkan Memakan Buah-buahan Tempatan Peringkat Sekolah-sekolah Negeri Sembilan.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan Muslim Manja dan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Muzir Ab Manan.

Bakri berkata amalan pengambilan buah-buahan di negara ini masih rendah dan perlu ditingkatkan berbanding negara jiran Singapura dan Thailand yang merekodkan perkapita pengambilan sekitar 100kg setahun.

Mengenai kempen itu yang diadakan bertujuan untuk memupuk amalan pemakanan sihat serta meningkatkan kesedaran kebaikan buah-buahan dalam kalangan pelajar, Bakri berkata ia disertai 300 pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah ini.

“Ia juga bertujuan untuk memupuk amalan memakan buah-buahan tempatan sebagai menu diet harian dalam kalangan pelajar,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN