SEPANG – Tiada apa yang dapat dizahirkan selain ungkapan rasa syukur dan terima kasih kerana terselamat dalam kejadian gempa bumi dahsyat yang melanda Lombok Timur, Indonesia minggu lepas, kata salah seorang pendaki Malaysia, Siti Hidayah Zainuddin.
Siti Hidayah, 38, bersama empat lagi pendaki wanita merupakan kumpulan pertama selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 1.33 petang dengan menaiki pesawat AirAsia AK305.
Beliau antara 20 pendaki Malaysia yang terperangkap selepas gempa bumi 6.4 skala Richter di Lombok semalam.
Bercakap kepada pemberita, Siti Hidayah yang berasal dari Petaling Jaya yang kelihatan masih dalam trauma menceritakan detik-detik cemas mengenai pengalaman pertamanya ketika kejadian.
“Kumpulan kami dijadual mendaki gunung pada pukul 7 pagi. Kami bangun dan bersarapan pagi 6.30 pagi dan telah susun bag-bag kami di halaman rumah untuk dibawa bersama.
“Kami semua hampir naik dan siap berpakaian penuh, tiba-tiba terasa gegaran pertama. Masa itu tidak pasti dan lepas itu, bumi bergegar. Kami terkejut kerana inilah pengalaman pertama.
“Gempa pertama melanda 6.57 pagi. Masa itu kami tak tahu nak buat apa. Panik. Tanah bergoyang-goyang dan terkejut. Selepas itu ada 20 gempa susulan,” katanya.
Gempa bumi paling kuat menggegarkan wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pukul 5.47 pagi menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.
Kejadian tersebut turut mengorbankan seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Lesmawida Ismail, 30, yang selesai menamatkan misi pendakian ke Gunung Rinjani.
Siti Hidayah memberitahu, kumpulannya berjaya dikeluarkan daripada kawasan itu pada pukul 4 petang dengan bantuan pelbagai pihak khususnya penduduk kampung. – Bernama










