Gangsa jadi impian skuad ragbi 7-sebelah negara - Utusan Malaysia

Gangsa jadi impian skuad ragbi 7-sebelah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Julai – Skuad ragbi 7-sebelah Sukan Asia negara mengimpikan pingat gangsa sebagai sasaran terbaik untuk membuktikan keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan pemergian mereka di bawah kategori B adalah silap.

SHAHRUL ZAMAN YAHYA

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, berdasarkan prestasi semasa skuad negara termasuk memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 lalu, pihaknya memberanikan diri untuk mensasarkan menang pingat kali ini.

“Walaupun MOM tidak meletakkan kami di bawah kategori A (ditanggung perbelanjaan ke Jakarta) tetapi itu tidak mematahkan semangat skuad ragbi 7-sebelah negara untuk meletakkan sasaran menang pingat.

“Namun sasaran kita pun perlulah berpijak di bumi nyata kerana Jepun jelas berada dalam kelas mereka yang tersendiri. Jadi cukup bagi ragbi kali ini menyasarkan pingat gangsa sahaja,” kata­nya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat agung tahunan KRM di Bukit Jalil dekat sini hari ini.

Dengan dibimbing bekas pemain New Zealand, Bradley Moni Mika sebagai ketua jurulatih, KRM katanya yang yakin skuad negara mampu pergi lebih jauh dan lebih baik kali ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Jepun, Taiwan dan Indonesia sekali gus memberi bayangan awal tempat ke suku akhir mampu dicapai. Pencabar kuat lain seperti Hong Kong berada dalam Kumpulan A bersama China, Thailand dan Pakistan manakala Sri Lanka dalam Kumpulan C bersama Korea, UAE dan Afghanistan.

Sehubungan itu memandangkan Jepun kini kuasa besar ragbi di Asia, mesyuarat agung KRM hari ini turut membuat keputusan untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dengan persatuan ragbi negara Matahari Terbit itu.

“Awal Ogos ini (sempena satu kejohanan jemputan di Sapporo), kami akan ke Tokyo untuk berbincang menjalinkan kerjasama dalam mewujudkan liga profesional ragbi di Malaysia yang sama seperti di Jepun.

“Ini kerana kebanyakan syarikat Jepun yang ada di Malaysia merupakan penaja pasukan ragbi terbaik di liga mereka. KRM mengharapkan agar Jepun dapat membantu memujuk syarikat Jepun ini untuk menaja liga profesional di negara kita pula,” tambah Shahrul Zaman.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat hari ini adalah perancangan KRM seterusnya berikutan kejayaan ragbi disenaraikan semula dalam Sukan Malaysia (Sukma) pada temasya 2018 di Perak selepas lapan tahun dipinggirkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN