LABUAN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sedang merangka kertas cadangan mengenai sistem saraan baharu penjawat awam untuk dikemukakan kepada kerajaan.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya mahu kerajaan melakukan semakan semula lima tahun terhadap gaji penjawat awam yang tidak disemak sejak tahun 2002.
Menurutnya, semakan semula gaji itu perlu dilakukan berikutan kenaikan harga rumah dan barangan sejak kebelakangan ini.
“Kami dengan ini ingin menegaskan kesetiaan kami kepada kerajaan yang memerintah. Kami faham tentang keadaan semasa kewangan negara, tetapi kita perlu ingat bahawa harga rumah kini terlalu tinggi bagi mereka daripada gred rendah.
“Mereka yang berpendapatan RM2,000 sebulan sudah tentu tidak mampu membeli rumah berharga RM150,000 sebuah, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai banyak anak. Kesudahannya mereka perlu menyewa rumah,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis taklimat prapersaraan untuk penjawat awam Labuan di sini semalam.










