ALOR SETAR – Kerajaan memberi komitmen tinggi untuk merealisasikan kadar janji minimum baharu sektor swasta kepada RM1,500 sebulan seperti yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sungguhpun ini bukan janji yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran.
Sebaliknya Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, janji itu adalah untuk dikotakan dalam tempoh lima tahun pentadbiran PH.
“Perlu diperjelaskan kepada rakyat bahawa janji itu bukan untuk tempoh 100 hari tapi lima tahun dan apabila menjelang berakhirnya penggal, baru kita dapat fikirkan cara perlaksanaannya tetapi buat masa ini kadar gaji minimum ini telahpun bermula dan akan dikaji semula setiap dua tahun” katanya kepada pemberita di Kampung Padang Lalang di sini, hari ini.
Khamis lepas Menteri Tenaga Manusia, M Kula Segaran dalam Dewan Rakyat memaklumkan bahawa Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah selesai menjalankan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016 dan syor kajian itu akan dibentangkan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, Mahfuz menyerahkan cek bayaran Faedah Pengurusan Mayat dari Skuad Prihatin Perkeso Kedah berjumlah RM2,000 kepada Salihah Che Pi, 54 yang kematian suami Johari Zakaria, 60, pada 17 Julai lalu selepas ditimpa bumbung kilang perabot dalam kejadian ribut di Jalan Gunung Keriang. – Bernama










