Gagal penuhi janji? - Utusan Malaysia

Gagal penuhi janji?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka gagal memenuhi manifesto untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam bergaji bawah RM4,000 sebulan berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, jawapan Maszlee bahawa kajian mengenai pelaksanaan janji itu yang masih dijalankan, sangat tidak meyakinkan termasuk mengenai bebanan kewangan yang bakal ditanggung oleh kerajaan jika ia mahu dipenuhi.

Malah, beliau memberitahu, jika mahu dilaksanakan juga, kerajaan mungkin perlu membuat pinjaman bagi menyediakan dana kepada pemohon baharu dan kebiasaannya pinjaman itu akan dijamin oleh kerajaan.

“Ini akan menambah liabiliti kerajaan yang dikatakan terlalu besar ketika ini, sekali gus bercanggah dengan polisi Kementerian Kewangan. Bagi saya, jawapan oleh menteri sangat tidak meyakinkan untuk melaksanakan janji ini,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu, dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini, Khairy meminta Kementerian Pendidikan menjelaskan sama ada sudah menjalankan kajian mengenai tempoh purata seorang siswazah mencapai tahap gaji tersebut dan implikasi kewangan kepada kerajaan.

Maszlee dalam jawapannya menjelaskan, setiap janji yang dibuat dalam manifesto 100 hari PH mahu dilaksanakan dan kajian sedang dilakukan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN sehingga peminjam mencapai pendapatan bulanan sebanyak RM4,000.

Dalam pada itu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan ketika ditemui di lobi Parlimen berkata, perbadanan itu sememangnya menghadapi beberapa kekangan bagi memenuhi janji tersebut ke­rana ketiadaan maklumat penting terutama berhubung kedudukan gaji semasa peminjam.

“Proses akan dilakukan de­ngan meminta peminjam menyatakan kedudukan gaji mereka sebelum PTPTN meluluskan permohonan penangguhan bayaran balik,” jelasnya.

Beliau turut menolak tuduhan Khairy bahawa PH merangka manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tanpa kajian mendalam dan pada masa sama, cuba menutup kelemahan pihaknya dengan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang selama ini tidak memberi peluang kepada partinya untuk menilai pelbagai maklumat bagi merangka manifesto.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN