BUKIT MERTAJAM 26 Julai – Sebanyak dua buah restoran diarah menghentikan perniagaan sementara waktu selepas dikesan gagal mematuhi syarat kebersihan premis yang ditetapkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan negeri, hari ini.
Hasil siasatan unit penguatkuasa tersebut mendapati, salah satu daripada restoran terbabit yang terletak di Bandar Perda di sini turut diberikan amaran selepas beberapa ekor lipas dijumpai berkeliaran pada mesin pengisar ais pada bahagian dapur premis mereka.
Pada masa sama, tong berisi ketulan ais yang diletakkan di belakang restoran tersebut juga berada dalam keadaan kotor dan ‘berdaki’ serta tidak diselenggara dengan baik.
Kedua-kedua restoran terbabit merupakan sebahagian daripada kedai makanan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang ‘digempur’ dalam operasi bersepadu hasil kerjasama BKKM dengan beberapa agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Difahamkan, notis penutupan selama 14 hari itu dikeluarkan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan sepanjang tempoh berkenaan.
Selain notis terbabit, penguatkuasa yang terlibat dalam operasi tersebut turut mengeluarkan beberapa kompaun sebagai amaran terhadap beberapa restoran lain.
Difahamkan juga, operasi sepanjang hari itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan malam dengan 25 anggota yang dipecahkan kepada lima kumpulan ditugaskan untuk membuat serbuan di beberapa restoran yang dikenal pasti.
Operasi yang sama dijangka diteruskan pada sebelah malam dengan melibatkan sekurang-kurangnya enam kumpulan penguatkuasa di beberapa lokasi lain sekitar daerah yang sama.-UTUSAN ONLINE










