KUALA TERENGGANU – Kontraktor pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Raja, Besut bakal ditamatkan perkhidmatan berikutan kegagalannya menyiapkan projek tersebut mengikut tempoh masa ditetapkan.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, iKementerian Kesihatan Malaysia memutuskan demikian setelah meneliti laporan serta maklumat daripada semua pihak berkaitan.
Menurut beliau, projek dengan kos RM30 juta yang mula dibina pada tahun 2017 itu dijadualkan siap pada 3 Februari 2019 namun kerja-kerja pembinaannya baru mencapai 29 peratus.
“Jika dirujuk kepada jadual, projek pembinaan klinik kesihatan itu seharusnya sudah mencapai tahap 59 peratus namun sehingga kini ia hanya siap 29 peratus sahaja.
“Kontraktor projek ini telah diberi amaran sebanyak lima kali selain dikesan mempunyai kelemahan kewangan yang tidak dapat diperbaiki dalam masa terdekat. Keputusan tersebut diambil kerana kita tidak mahu berkompromi daripada sudut kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja rasmi di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, terdapat 24 projek ‘sakit’ dikesan di seluruh negara dengan 12 daripadanya merangkumi klinik kesihatan, sepuluh projek hospital serta dua lagi membabitkan kuarters klinik. – K! ONLINE










