MUKADIMAH
Amirudin Shari belum melepasi tempoh sebulan sebagai Menteri Besar Selangor ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu sekali gus membuka laluan untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Namun beliau yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-16 pada 19 Jun lalu dilihat tidak goyah untuk berhadapan dengan PRK tersebut.
Ketika merasmikan Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) di Bukit Naga, Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, baru-baru ini, beliau berkongsi aspirasinya bersama wakil media dalam menghadapi PRK itu.
MINGGUAN: Komen mengenai langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melonggarkan beberapa syarat kempen PRK DUN Sungai Kandis berbanding PRU-14?
Amirudin: Ia adalah refleks atau gambaran bagaimana pimpinan Pakatan Harapan. Seperti saya sebut, kita akan berkempen secara gentleman dan inilah nilai demokrasi yang kita nak bentangkan malahan tempoh kempen yang agak panjang bagi PRK ini juga saya rasa gambaran bagaimana SPR lebih lunak dan saya yakin sebelum ini mereka mungkin mahu melaksanakan perkara itu tetapi diasak dengan beberapa arahan yang tak boleh disebut ketika itu antaranya gambar calon, parti, pemimpin, lambang parti yang kini boleh digunakan agak bebas, sesuai dengan hak demokratik dalam negara.
Ada pertambahan daerah mengundi kali ini?
Amirudin: Tidak ada tetapi tambahan saluran ada kerana SPR ketika mengumumkan perkara itu memberitahu pertambahan dibuat untuk mengurangkan jumlah pengundi dalam satu-satu saluran, Maksimum 550 orang satu saluran dalam PRU lepas, jadi ada beberapa kawasan atau lokaliti termasuk di tempat saya, pengundi tidak dapat mengundi kerana terlalu ramai yang turun dan operasi mengundi menjadi perlahan. Ekoran itu SPR telah ambil langkah awal untuk mengurangkan risiko itu jika kadar turun mengundi tinggi dalam PRK Sungai Kandis. Kali ini juga terdapat pertambahan 400 pengundi baharu.
Dalam kempen ada disentuh isu air di negeri ini akan selesai?
Amirudin: Ia janji menteri, kita dalam trek yang betul untuk menyelesaikan isu air di Selangor tetapi kena berhati-hati kerana melibatkan kos besar, nasib rakyat dan perjanjian antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Walaupun kita semakin mesra dengan Kerajaan Persekutuan tetapi sebagai Menteri Besar, saya perlu menjaga kepentingan negeri dan nasib rakyat. Ia melibatkan perjanjian induk, kita kena ubah sikit perjanjian dan ia mengambil masa kerana melibatkan pelbagai pihak termasuk Peguam Negara, Penasihat Undang-Undang Negeri, namun begitu dengan komitmen semua, kita akan dapat selesaikan perkara itu.
Calon BN harap Pas akan berkempen sama untuk mereka, apa pandangan YB?
Amirudin: Itu hak mereka untuk berjumpa siapa pun, ini hak parti dalam demokrasi. Namun begitu dalam PRU lepas kita telah tunjukkan kesepakatan PH ini yang telah diterima rakyat sebagai satu gabungan paling padu dan berupaya untuk memimpin negara dan ketika ini alhamdulillah paling tidak kita telah melaksanakan beberapa daripada 10 janji kita.
Ini komitmen jelas daripada pimpinan PH selain proses pemulihan negara. Proses ini sangat penting yang mungkin orang lupa. Walaupun ia tidaklah popular tetapi ia sangat penting, ia melibatkan proses perubahan institusi, proses perubahan kewangan negara yang sedang bergerak rancak.
Sebab itu isyarat penting kepada rakyat hari ini adalah untuk menyokong perkara ini kerana ia memberikan masa depan yang baik. Kalau pilih BN, ia seolah-olah kita nak merelakan 1MDB di bawah pengurusan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Komitmen tidak menggunakan agensi kerajaan?
Amirudin: Saya sebagai Menteri Besar datang untuk melihat masjid tidak jauh dari sini dan kemudiannya singgah di sini pula. Tetapi itu bukan masalah kerana kenderaan boleh digunakan, yang saya maksudkan ialah tidak menggunakan agensi untuk memberi duit dan barangan kepada pengundi.
Sebenarnya dalam peraturan, kenderaan boleh digunakan. Kalau macam itu semua wakil rakyat tak boleh guna kenderaan berlambang sebab kenderaan itu juga tidak perlu dibayar cukai kerana cukai dibayar oleh kerajaan. Tetapi saya tidak rigid tentang perkara itu.










