PADA 6 Julai lalu, seorang sahabat bergelar Dato’ (kini menetap di Pulau Pinang) datang ke rumah. Selain bersembang raya, beliau mahu mendapatkan nasihat mengenai isu tanah wakaf ahli keluarganya. Setelah mendengar penjelasan saya mengenai masalahnya, beliau menanyakan soalan lain – iaitu kenapa kerajaan menubuhkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan apakah fungsinya? Beliau merasakan sudah terlalu banyak kementerian yang diwujudkan oleh kerajaan sekarang.
Saya menunjukkan kepadanya satu laporan media tempatan tiga hari sebelumnya yang melaporkan bahawa secara tradisi tiga kementerian paling kanan di negara ini (selepas Jabatan Perdana Menteri) adalah Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan, dan oleh yang demikian tiga orang menteri yang baharu dilantik (Lim Guan Eng, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu) boleh dikira sebagai menteri paling kanan dalam kalangan jemaah menteri di negara ini.
Laporan media yang sama kemudian meletakkan kekananan (seniority) berikutnya kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan kementerian baharu ini, sekali gus mencerminkan kepercayaan dan harapan penuh Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.
Menurut portal rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (www.jpagovmy.com) satu kementerian itu adalah organisasi yang diwujudkan untuk menggubal dasar, merancangkan program-program dan melaksanakannya di bawah arahan dasar seorang menteri.
Saya maklumkan kepada sahabat saya bahawa tugas utama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi itu adalah meneruskan tugas yang dulunya dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri. Selain itu, seperti diperkatakan oleh media tempatan pada 22 Mei (sehari selepas Azmin dilantik) peranan kementerian ini dalam tempoh lima tahun ke depan adalah memulihkan ekonomi negara dan menjadikan negara ini destinasi pelaburan di rantau ini.
Dalam temubual yang pertama sebagai Menteri Ekonomi dengan wartawan tempatan, Azmin menyatakan bahawa EPU adalah salah satu portfolio awal yang diletakkan di bawah kementeriannya. Selain itu, beliau akan dimaklumkan di kemudian hari skop kerja lain kementerian itu oleh Perdana Menteri.
Saya maklumkan juga kepada sahabat saya bahawa pada awal Jun lalu, sebuah portal berita tempatan (www.theedgemarkets.com) meramalkan kementerian baharu ini akan diperkembangkan skop kerjanya untuk mengawal selia beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) yang pada masa ini berada di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri. Antara GLC berkenaan yang mungkin diletakkan di bawah kementerian baharu ini termasuklah Petroliam Nasional Bhd, Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Tabung Haji, dan Felda Global Ventures Holdings Bhd.
Selain itu, ada pihak lain yang menjangka kementerian ini juga akan ditugaskan mengawal selia dan memantau aktiviti beberapa entiti awal lain seperti SME Corp Malaysia, SME Bank, UDA Holdings Bhd, Yayasan Pelaburan Bumiputera, Bank Pembangunan Malaysia Bhd, Hicom Holdings Bhd, Majlis Amanah Rakyat (MARA) and Perbadanan Nasional Bhd (PNB). Sama ada ramalan dan jangkaan ini akan menjadi realiti atau sebaliknya, sama-samalah kita lihat nanti.
Seminggu selepas pertemuan saya dengan sahabat dari Pulau Pinang itu, saya sempat bersembang dengan Nik Ramli, seorang perancang bandar yang mempunyai pejabatnya di Kuala Lumpur. Anak kepada seorang perancang bandar yang tersohor dan dihormati dalam kalangan ahli profesionnya, beliau sering menjadi orang yang saya tanya sekiranya ingin penjelasan mengenai perancangan bandar.
Saya menanyakan apakah pendapatnya mengenai cadangan memindahkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), yang kini di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), ke Kementerian Hal Ehwal Ekonomi?
Secara spontan beliau menjawab – “Itu satu cadangan yang baik”. Beliau menjelaskan ada baiknya satu jabatan Kerajaan Persekutuan yang terlibat dengan perancangan fizikal negara ditempatkan di kementerian sama yang menentukan perancangan ekonomi negara. Perancangan fizikal tidak wajar dipisahkan dari perancangan ekonomi.
Walau bagaimana pun, beliau menjelaskan ada sebab kenapa JPBD kini diletakkan di bawah KPKT. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah pihak berkuasa perancangan tempatan (PBPT). Semua PBT di negara ini diletakkan di bawah KPKT, dan oleh itu kehadiran JPBD dalam KPKT diperlukan bagi memastikan perancangan pembangunan boleh terus dipantau dari peringkat atas (kementerian) hingga ke peringkat bawah (PBPT).
Untuk mendapatkan jawapan apakah JPBD wajar dikekalkan di bawah bumbung KPKT (seperti sekarang) atau dipindahkan ke kementerian lain atau diwujudkan kementeriannya sendiri, saya merantau di ruang siber untuk melihat amalan di negara-negara lain.
Saya dapati di India, Trinidad & Tobago dan Pakistan, ada Kementerian Perancangan dan Pembangunan (Ministry of Planning and Development). Di Victoria (Australia) dan Kemboja, ada Kementerian Perancangan (Ministry of Planning) wujud bersendirian, tanpa digabungkan dengan kementerian lain. Di Myanmar, kewangan dan perancangan digabungkan dan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan Perancangan (Ministry of Finance and Planning).
Di benua Afrika, Kenya dan Nigeria ada Kementerian Tanah dan Pembangunan Fizikal (Ministry of Lands and Physical Planning), manakala di Zambia ada Kementerian Pembangunan Negara dan Perancangan (Ministry of National Development and Planning). Di semua negara yang disebutkan itu, perancangan tidak ditempatkan di Kementerian Perumahan. Hanya di New South Wales (Australia), saya temui Kementerian Perancangan dan Perumahan (Ministry of Planning and Housing).
Kesimpulannya, sama ada JPBD wajar dikekalkan di KPKT atau dipindahkan ke Kementerian Ekonomi atau diwujudkan kementeriannya sendiri, kata putus terserah kepada Putrajaya menentukan dasar serta hala tuju masa depannya. Yang menarik perhatian saya adalah bahawa di Arab Saudi, ekonomi dan perancangan digabungkan dan diletakkan di bawah Kementerian Ekonomi dan Perancangan (Ministry of Economy and Planning).
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.










