AMPANG – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh hari ini mengumumkan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nasional bagi sesi pemilihan parti itu bulan depan.
Fuziah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut mengisytiharkan menyokong dan berada di dalam kem Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti tersebut.
“Walaupun ramai yang berpendapat saya turun pangkat dengan bertanding Ketua Wanita PKR, keputusan untuk bertanding adalah bagi memastikan agenda reformasi yang dilaungkan parti berada dalam landasan yang betul.
“Pepatah Cina ada menyebut ‘wanita memegang separuh daripada langit’, jadi saya mahu membawa wanita di dalam parti ini supaya memandu perjuangan reformasi PKR,” katanya ketika berucap pada majlis Reformasi 20 Tahun di Hotel De Palma di sini petang tadi. – K! ONLINE










