KUALA LUMPUR 27 Julai – Sebuah kereta mewah jenama Ferrari yang musnah akibat terbakar 100 peratus dalam kejadian di Kilometer 39.5 Lebuh Raya Kesas dari Persiaran kewajipan menghala ke Plaza Tol Sunway, dekat sini semalam merupakan milik usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, kenderaan terbabit dipandu oleh individu lain dipercayai disewa daripada usahawan kosmetik terbabit.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Dalam pada itu, Aliff Syukri hari ini memuat naik satu rakaman video dalam akaun Instagram miliknya memaklumkan beliau sedih mengenai kejadian yang menimpa kereta kesayangannya itu.
Ujarnya, kereta terbabit telah dibeli dengan harga RM1.8 juta.
“Aku insan lemah. Kuatkanlah semangatku Ya Allah. Apa patut saya buat..Kereta kesayangan aku beli RM1.8 juta,” katanya. – UTUSAN ONLINE








