ISKANDAR PUTERI 18 Julai – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri ini akan memastikan tidak berlaku lambakan buah-buahan bermusim terutamanya durian.
Pengarahnya, Alwi Anang turut memberi jaminan kepada pengusaha atau pengeluar buah-buahan bahawa mereka masih mampu menjual hasil tanaman itu pada harga yang munasabah.
“Tidak timbul isu lambakan pengeluaran buah-buahan sehingga mendatangkan kerugian kepada pengeluar walaupun hasil pengeluaran meningkat lebih 40 peratus berbanding tahun sebelum ini bagi daerah Muar dan Tangkak.
“Kita sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi pertambahan pengeluaran dengan mengadakan pelbagai promosi jualan buah-buahan tersebut di seluruh negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Jualan Terus dari Ladang Buah-buahan Bermusim Peringkat negeri sempena ‘My Best Buy’ di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Alwi berkata, FAMA turut menyasarkan untuk melaksanakan 15 program jualan buah-buahan tempatan di seluruh negeri ini dalam usaha memastikan tidak berlaku lambakan sehingga merugikan peniaga.
FAMA bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk melaksanakan tiga program jualan melibatkan program Jualan Buah-Buahan, Jualan Terus dari Ladang dan My Best Buy.
Menurutnya, program jualan tersebut turut dibuat di Outlet Pemasaran Negeri Johor melibatkan 62 pasar tani, 27 Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS), jualan melalui Pusat Operasi FAMA dan usahawan bimbingan FAMA serta menerusi Portal Agrobazaaronline.
“Objektif program ini bagi mempromosikan buah-buahan bermusim kepada pengguna, membantu petani memasarkan hasil terus, memberi peluang pembeli setempat mendapatkan buah segar dan menggalakkan pembelian buah-buahan tempatan,” katanya.










