CADANGAN mengenai pengambilan pemain naturalisasi untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan merupakan satu pilihan dan tidak bertentangan dengan undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, perkara itu belum diputuskan dan kajian mengenainya sedang dibuat menerusi lawatan Timbalan Presidennya, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi ke Cameroon dan Brazil.
“Kita telah berhubung dengan pihak persatuan bola sepak negara berkenaan untuk mengetahui lanjut tentang pro dan kontra pengambilan pemain naturalisasi.
“Perkembangan mengenainya akan dimaklumkan kelak, sekiranya sesuai maka kita akan melaksanakannya.
“Apa pun, ia (cadangan) adalah baik tetapi penghujungnya kerajaan yang akan memutuskan untuk memberi kewarganegaraan atau tidak,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelima bagi penggal 2017-2021 di Banda Hilir, Melaka semalam.
Hamidin yang baru dua minggu menerajui FAM berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan yang disyorkan pada sesi dialog bersama penyokong bola sepak di Kuala Lumpur minggu lalu.
Cadangan pengambilan pemain luar untuk menyertai skuad kebangsaan dibuat bagi memperbaiki prestasi serta kedudukan ranking pasukan negara yang kian merosot.
Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata, pihaknya menyerahkan kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk membuat keputusan memanggil pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh, 23, bagi mewakili skuad Harimau Malaya.
“Mengikut prosedur FIFA, pemain yang tinggal di sesebuah negara lebih lima tahun dan mempunyai pasport warganegara boleh bermain jika dipanggil jurulatih,” katanya.
Pemain Pahang itu yang telah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun sudah enam tahun beraksi dalam Liga Malaysia dan mendapat taraf kerakyatan negara ini pada April lalu.
Terdahulu, FAM menerima penajaan berjumlah RM6 juta daripada CustomCraft (M) Sdn. Bhd. untuk tempoh tiga tahun bermula pada 2018 dengan disaksikan oleh Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
CustomCraft (M) Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yeong King Hui.










