MELAKA 28 Julai – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menghantar Timbalan Presidennya, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi ke Cameroon dan Brazil untuk membuat kajian mendalam mengenai cadangan mengambil pemain naturalisasi untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya telah berhubung dengan persatuan bola sepak negara berkenaan untuk tujuan mengkaji pro dan kontra mengenai pengambilan pemain naturalisasi.
“Kami akan maklumkan perkembangan ini apabila semuanya telah siap, dan semua pihak perlu menunggu cadangan FAM sama ada meneruskan atau tidak, jika sesuai kami akan melaksanakan.
“Apa pun tujuannya adalah untuk kebaikan bola sepak negara, tetapi penghujungnya (kata putus) kerajaan yang akan memutuskan untuk memberi kewarganegaraan atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelima penggal 2017-2021, di sini hari ini.
Hamidin berkata, cadangan itu dikemukakan ketika menjawab soalan dalam sesi dialog bersama penyokong bola sepak di Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai salah satu mekanisme memperbaiki prestasi serta kedudukan ranking pasukan negara yang kian merosot.
“Ini adalah salah satu cadangan untuk melonjakkan bola sepak negara namun para penyokong perlu bersabar,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan memanggil penyerang kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh untuk mewakili Harimau Malaya, Hamidin berkata perkara itu diserahkan kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.
Beliau berkata, mengikut prosedur FIFA, pemain yang tinggal di sesebuah negara lebih lima tahun dan mempunyai pasport warganegara, boleh bermain dengan pasukan ‘negara angkatnya’.
Pemain Pahang berusia 23 tahun itu sudah menetap di negara ini sejak berumur 13 tahun dan enam tahun beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) serta telah mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada April lalu.










