KUALA LUMPUR 8 Julai – Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang mendapatkan rawatan di Medipol Mega University Hospital, Istanbul, Turki telah menerima kunjungan Presiden negara tersebut, Recep Tayyip Erdogan.
Menurut Anwar, kunjungan Erdogan tersebut semasa beliau menjalani sesi pemulihan selepas melakukan pembedahan tulang belakang di hospital tersebut.
“Dalam pada sesi pemulihan pascapembedahan di Istanbul saya sempat dikunjungi Presiden Reccep Tayyip Erdogan dan isteri. Kunjungan mereka amat saya hargai meskipun waktu mereka terbatas kerana kesibukan mengurus kemenangan pilihan raya.
“Saya menitip salam dan ucap tahniah dari Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Tun Dr. Mahathir berikutan kemenangan bergaya AK Parti dalam pilihan raya Turki, 24 Jun yang lepas, katanya menerusi akaun Facebook miliknya di sini hari ini.
Sementara itu, ujar Anwar, beliau dijadual untul menjalani satu lagi pembedahan pada Khamis ini.
“Alhamdulillah, kesihatan beransur baik selepas pembedahan tersebut dan saya dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada hari Khamis di bahagian bahu kanan rentetan kecederaan kaf rotator. Mohon doa agar semuanya berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN ONLINE










