NEGARA baru-baru ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali seorang anak muda yang berusia 25 tahun dilantik menjadi menteri dalam barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Muar yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan merupakan salah seorang daripada 26 menteri dalam kerajaan.
Pelantikan tokoh-tokoh muda untuk terlibat sama dalam kancah pentadbiran negara bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah telah lama diangkat di negara-negara seperti Sweden, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Ireland, Austria dan New Zealand.
Shama al-Mazroui telah dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Belia oleh pemerintah UAE pada usia 22 tahun.
Aida Hadzialic pula menerima tugas sebagai Menteri Persekolahan Menengah Tinggi, Pendidikan dan Latihan Dewasa Sweden ketika berusia 27 tahun.
Begitu juga Canselor termuda Austria, Sebastian Kurz, 31, pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Luar dan Integrasi pada usia 27 tahun atas pengalaman luas beliau dalam pentadbiran negara sejak muda lagi.
Pengiktirafan
Pengiktirafan terhadap kebolehan golongan muda itu bukti bahawa mereka bukan sekadar pemimpin masa hadapan, malah boleh digilap untuk menjadi sebahagian daripada kepimpinan masa kini.
Mengupas isu tersebut, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, fenomena pemimpin muda bukan perkara baharu kerana sejarah telah mencatatkan beberapa tokoh ternama terdiri daripada pemuda.
Beliau berkata, contoh paling dekat bagi umat Islam ialah Sultan Muhammad Al-Fateh yang merupakan pemerintah empayar Uthmaniah.
Baginda membuktikan keupayaan pemimpin muda apabila berjaya menawan kota Constantinople (Istanbul) ketika berusia 21 tahun.
“Untuk memimpin sesebuah negara, pemimpin itu perlu mempunyai kemahiran dan ilmu pengetahuan yang tinggi. Perkara ini dibuktikan oleh Al-Fateh yang mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik serta menguasai enam bahasa.
“Kota Constantinople cukup terkenal dengan kekuatan dan keutuhan apabila tiada kerajaan Islam mampu menawan sepanjang tempoh 800 tahun walaupun pelbagai usaha dilakukan. Kota ini sangat strategik kerana laluan utama untuk ke Eropah.
“Bagaimanapun, dengan kebijaksanaan dan kebolehan Al-Fateh memimpin kerajaan Uthmaniyah, baginda berjaya mengukuhkan kekuatan tentera hingga berjaya menawan Constantinople dan digelar sebagai ‘Sang Penakluk’,” katanya kepada Jurnal baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ummu Atiyah berkata, walaupun golongan muda mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara, terdapat dalam kalangan mereka yang terburu-buru dalam membuat keputusan hingga menjejaskan karier politik.
“Sebagai contoh, Aida Hadzialic yang menjadi menteri termuda di Sweden terpaksa melepaskan jawatannya selepas insiden beliau ditahan oleh polis kerana memandu dalam keadaan mabuk. Tindakan itu telah menyebabkan imej beliau terjejas.
“Walaupun tidak melibatkan isu besar seperti pecah amanah atau salah guna kuasa, Aida Hadzialic terpaksa melepaskan jawatannya kerana tindakannya mungkin tidak disenangi oleh rakyat yang memberi harapan besar kepada beliau.
“Bagaimanapun, tidak semua pemimpin muda bertindak terburu-buru atau tidak bijak dalam mengawal keadaan. Jika kita lihat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump masih lagi tidak pandai menjaga imej walaupun sudah berusia,” ujarnya.
Pendedahan awal
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Nazli Aziz berkata, pendedahan lebih awal yang diterima oleh orang muda dalam pentadbiran boleh mengasah bakat kepimpinan mereka.
Beliau berkata, contoh terdekat adalah Sebastian Kurz yang dilantik sebagai Menteri Luar dan Integrasi Austria pada 2013 setelah memenangi pilihan raya sebelum menjadi pemerintah nombor satu negera itu tahun lalu.
“Apabila diberi peluang lebih awal, sudah tentu pemimpin yang dilantik dalam kalangan orang muda ini dapat mempelajari lebih banyak selok-belok menguruskan atau mentadbir negara.
“Sebastian Kurz berjaya mengutip pengalaman menteri pada usia 27 tahun dan kemudian menjadi ketua negara pada usia 30 tahun.
“Sebenarnya trend orang muda menjadi pemimpin utama dalam negara tidak berlaku di Malaysia saja, tetapi telah bermula lebih awal di Eropah dan negara-negara maju lain seperti Perancis dan Kanada,” ujarnya.
Tambah Nazli, walaupun dilantik menjadi pemimpin pada usia muda, kebanyakan ahli politik tersebut mempunyai kelayakan akademik dan pengetahuan mengenai kepimpinan yang tinggi bagi menggalas tanggungjawab besar itu.
“Saya fikir kelayakan akademik dan kemahiran kepimpinan adalah syarat utama untuk menjadi pemimpin. Setiap negara atau rakyat itu sendiri tidak akan memilih pemimpin daripada latar belakang yang tidak berpendidikan.
“Sebagai contoh, Shama al-Mazroui di UAE mempunyai kelayakan akademik daripada Universiti Oxford dan berpengetahuan luas dalam pengurusan awam. Pandangan dan idea yang dilontarkan oleh beliau mengenai isu belia juga begitu kritis,” ujarnya.
Dengan kelebihan itu, Shamma pada Februari 2016 meletakkan namanya dalam sejarah apabila pada usia 22 tahun menjadi menteri paling muda pernah dilantik di mana-mana negara di dunia.











