SABAK BERNAM 26 Julai – Dua buah kelas di sebuah prasekolah di daerah ini diarahkan ditutup hari ini selepas enam murid disahkan dijangkiti wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Enam, Hamidah Md. Hashim mengesahkan penutupan kelas dua tersebut selama dua minggu selepas menerima arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam hari ini.
Enam murid itu katanya berusia di antara lima hingga enam tahun dan mereka dikesan dijangkiti wabak tersebut pada Selasa dan Rabu lalu.
Prasekolah berkenaan beroperasi dalam kawasan SK Parit Enam.
“Semua murid yang disahkan dijangkiti HFMD itu pada Selasa dan Rabu. Murid yang terlibat telah bawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar dan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Mereka turut diberi cuti kuarantin selama lima hari bermula 25 Julai hingga Sabtu ini. Selain itu, seorang guru prasekolah berkenaan turut diberikan cuti kuarantin kerana anaknya berusia lima tahun merupakan salah seorang murid yang dijangkiti,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud hari ini memaklumkan kerajaan Selangor mengambil langkah berjaga-jaga selepas kes jangkitan HFMD di sembilan daerah secara kumulatifnya meningkat lebih dari 300 kes.
Menurutnya, peningkatan wabak itu di negeri ini dikesan bermula minggu ke-15 hingga minggu ke-17 iaitu sekitar bulan April hingga Mei tahun ini. – UTUSAN ONLINE










