MAE SAI, THAILAND 8 Julai – Empat remaja dalam kalangan 13 yang terperangkap di dalam gua Tham Luang, Chiang Rai sejak dua minggu lalu, berjaya dikeluarkan setakat ini.
Perkara itu dinyatakan oleh anggota kanan pasukan perubatan menyelamat operasi berkenaan.
Dua remaja lelaki menjadi yang pertama dikeluarkan pada jam 7 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).
Sementara itu, Ketua Jabatan Kesihatan Chiang Rai, Tossathep Boonthong yang juga menyertai pasukan penyelamat berkata, mereka yang dikeluarkan kemudiannya diperiksa di hospital lapangan berhampiran gua.
Kesemua mereka kemudiannya dipindahkan ke Hospital Chiang Rai dengan ambulans dan helikopter tentera.
Usaha menyelamat seramai 12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai, utara negara ini sejak dua minggu lalu, bermula hari ini.
Ketua kumpulan penyelamat, Narongsak Osottanakorn berkata, hari ini adalah hari penentu dan kesemua remaja lelaki itu telah bersedia untuk mengharungi cabaran.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita dekat kawasan gua berkenaan ketika keadaan cuaca semakin buruk akibat hujan lebat yang akan menyebabkan lebih banyak air memasuki gua dan menghalang usaha menyelamat.
Kumpulan penyelamat dikenali sebagai Wild Boars telah bergerak sejauh beberapa kilometer ke dalam beberapa ruang sempit gua itu sejak 23 Jun lalu.
Terdahulu pihak berkuasa mengarahkan kira-kira 1,000 wartawan yang berada berhampiran pintu masuk gua meninggalkan kawasan itu bagi membolehkan persediaan operasi menyelamat dilakukan.
Kesemua remaja lelaki berusia antara 11 tahun sehingga 16 tahun dan jurulatihnya yang berusia 25 tahun telah ditemukan oleh pakar penyelam gua dari Britain, sembilan hari selepas mereka meneroka gua berkenaan.
Ketika ditemukan kesemua mangsa dalam keadaan lapar beberapa kilometer dalam gua berkenaan dan sebahagian daripada mereka tidak pandai berenang dan menyelam.
Sebelum ini Osottanakorn berkata, usaha menyelamat itu adalah mustahil.
Kematian seorang bekas penyelam tentera laut Thailand yang kekurangan oksigen dalam gua tersebut pada Jumaat lalu memperlihatkan operasi itu berbahaya termasuk kepada golongan profesional.
Selepas hujan pada malam Sabtu lalu dan cuaca yang semakin buruk hari ini, Osottanakorn berkata, pihak berkuasa perlu bertindak segera.
Menurut beliau, hujan lebat berterusan akan menyebabkan paras air meningkat ke bahagian tempat mangsa berkumpul dan menyempitkan kawasan kepada kurang daripada 10 meter persegi. – AFP










