SUNGAI BULOH – Empat maut manakala empat lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan sebuah treler dan lima kenderaan di Kilometer 446 Lebuh Raya PLUS menghala utara di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.02 tengah hari.
“Bertindak atas panggilan tersebut, beberapa anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Rawang dan Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kejadian tersebut dipercayai disebabkan lori treler berkenaan terbabas sehingga masuk ke lorong bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Beliau menambah, sehingga masa kini, mangsa yang maut adalah dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai warga tempatan.
“Seorang kanak-kanak lelaki cedera parah, manakala tiga mangsa lagi termasuk pemandu treler cedera ringan.
“Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya.
Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk sejauh 20 kilometer di kedua-dua arah sebelum susur masuk ke Rawang selatan. – K! ONLINE










