Empat budak terperangkap dalam gua telah diselamatkan - Media Thai - Utusan Malaysia

Empat budak terperangkap dalam gua telah diselamatkan – Media Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Empat daripada sekumpulan budak lelaki yang terperangkap telah dapat dikeluarkan dengan selamat dari gua yang dilanda banjir di Chiang Rai, bahagian utara Thailand dan kini sedang menerima rawatan perubatan, demikian menurut laporan media tempatan yang menyebut sumber.

Namun, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa, tetapi bekas gabenor Chiang Rai Narongsak Ossothanakorn yang mengetuai operasi menyelamat dijangka mengadakan sidang akhbar pada malam ini. 

Menyebut sumber, agensi media tempatan, Khaosod English, Thai Rath dan Bangkok Post telah membuat laporan mengenai dua budak lelaki pertama itu, yang dibawa keluar dari gua Tham Luang antara 5.30 petang hingga 5.50 petang (waktu tempatan). 

Dua budak yang pertama diselamatkan itu kemudian diterbangkan dengan helikopter tentera ke sebuah hospital wilayah berhampiran sementara dua lagi menerima rawatan di tempat kejadian terlebih dahulu.

Dua belas budak lelaki, berusia antara 11 dan 15 tahun dan jurulatih mereka berumur 25 tahun terperangkap dalam kompleks gua yang luas itu dekat sempadan Thai-Myanmar lebih 16 hari  menyebabkan insiden itu telah menarik perhatian seluruh dunia.  

Pada kira-kira 10 pagi (waktu tempatan) hari ini, usaha untuk membawa keluar budak-budak itu bersama jurulatih mereka dari Akademi Bola Sepak Mu Pa bermula dengan bantuan 13  juruselam asing  dan lima dari Tentera Laut Diraja Thai, SEALS. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN