KUALA LUMPUR 19 Julai – Chef de Mission (CDM) Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi mahu atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan membuktikan dia mampu meraih pingat emas dalam temasya di Indonesia untuk membersihkan namanya daripada isu disiplin.
Kata Abdul Azim, setakat ini Syakilla masih kekal sebagai pembawa bendera kontinjen negara dalam temasya dari 18 Ogos hingga 2 September itu, terutama selepas pihak Persekutuan Karate-do Malaysia (Makaf) mengenakan hukuman ke atasnya atas beberapa isu disiplin dilakukannya.
“Harapan tinggi kami disandarkan kepadanya untuk meraih kecemerlangan dalam Sukan Asia, malah seluruh rakyat Malaysia juga mahu melihat dia menghadiahkan kejayaan dan jika itu mampu dilakukannya pasti isu kecil ini dapat dilupakan.
“Pihak Makaf telah mengenakan hukuman ke atasnya dan selagi dia boleh bertanding maka dia akan terus mengalas tanggungjawab sebagai pembawa bendera,” katanya dalam sidang akhbar selepas bertemu atlet triatlon di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sini, hari ini.
Makaf mendapati Syakilla melanggar disiplin berkaitan penjagaan berat badan hingga menyebabkan dia tidak boleh beraksi pada Kejohanan Asia bagi kategori 55 kilogram, minggu lepas.
Tidak menjaga berat badan adalah satu kesalahan disiplin yang diambil serius oleh Makaf.
Hukuman yang dikenakan Makaf ke atas atlet terbaik Asia kategori 55kg itu ialah menyimpan 50 peratus gajinya dan ia hanya akan diserah semula selepas tamat Sukan Asia, selain tiada lagi penggunaan media sosial.
Dia juga diminta memperbaiki sikap dan komitmen dalam latihan.
Syakilla dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam Sukan Asia 2018 kerana pernah menghuni ranking pertama dunia, selain juara bertahan Sukan Asia dan antara atlet yang akan beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.









