Elvina tak peduli komen netizen - Utusan Malaysia

Elvina tak peduli komen netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN drama Isteri Untuk Diiktiraf yang dibintangi oleh Datin Elvina Mohamad sepatutnya membuatkan namanya menjadi perhatian khalayak kerana keberkesanan watak yang dibawa.

Namun malang sekali, perkara sebaliknya berlaku apabila insiden penahanan suaminya, Datuk Mohd Haniff Borhan bagi membantu siasatan kes penipuan lebih mencuri tumpuan peminat.

Insiden kurang enak itu nyata memberikan kesan kepada dirinya apabila melalui pengalaman buruk dipandang sinis oleh sesetengah pihak walaupun dia sudah menjelaskan bahawa suaminya itu hanya menjadi saksi.

“Apabila perkara itu terjadi saya tetap berdiri kukuh di belakang suami dan keluarga memberi sokongan kerana hanya kami sahaja yang lebih tahu perkara sebenar.

“Ikutkan memang banyak komen yang ditinggalkan netizen yang bagi saya sangat kurang ajar namun saya tidak ambil pusing dengan komen-komen tersebut.

“Sebab kita tahu mereka ini lebih suka memberi komen tanpa mengetahui perkara sebenar malah lebih teruk, ada yang buat-buat lebih tahu tentang perkara yang berlaku,” katanya

Lebih parah kata Eliva, kata-kata nista turut dilemparkan dalam kalangan mereka yang rapat dengan dirinya malah ada antara rakan-rakannya turut ‘suka’ dengan situasi yang dilaluinya itu.

“Membaca komen-komen yang ditinggalkan memang boleh buat saya menangis. Bayangkan… ada yang mendoakan keruntuhan rumah tangga kami dan sebagainya.

“Malah lebih teruk (ketika itu) apabila kata-kata yang tidak enak turut dilemparkan oleh rakan yang kita dianggap baik selama ini. Apabila semua ini berlaku baru kita tahu siapa mereka sebenarnya,” katanya.

Melalui waktu-waktu sukar itu ketika dirinya disahkan hamil, Eliva juga memberitahu, tekanan yang dialami membuatkan emosinya sedikit tercalar.

“Sewaktu perkara itu menjadi perhatian, saya dan suami saling menyokong antara satu lain kerana kami tahu orang luar hanya akan terus menghakimi tanpa mengetahui apa yang terjadi.

“Suami saya sendiri sebenarnya banyak memberi nasihat kepada saya agar tidak terlalu tertekan dengan perkara itu memandangkan saya sedang mengandung.

“Ketika ini memang saya tidak membaca komen-komen yang ditinggalkan malah yakin suatu hari nanti kebenaran akan terserlah jua,” katanya lagi.

Melihat perkara ini dari sudut yang lebih positif, kata Elvina atau Norzalina Mohamad, 23, sebenarnya dalam tempoh dugaan tersebut berlangsung, dia dan suami juga telah membina hubungan yang lebih kuat dan erat.

“Saya anggap ini dugaan awal perkahwinan malah lebih indah kerana perkara itu memberi kelebihan buat hubungan yang baru kami bina kerana membuatkan kami semakin rapat.

“Alhamdulillah semuanya kini sudah berakhir dan saya dan suami hanya ingin memberi fokus kepada kebahagiaan kehidupan masa depan kami,” katanya.

Bakal melahirkan anak sulung pada Januari depan, ketika ini Elvina lebih senang berehat dan tidak melakukan kerja-kerja berat untuk memastikan kandungannya selamat.

Bagaimanapun kata Elvina, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan bidang seni walaupun sudah bergelar seorang ibu kelak.

“Pada awal kehamilan memang saya mengalami pendarahan sedikit, mujur semuanya selamat. Saat ini memang saya bebas daripada sebarang kerja sebab mahu berehat.

“Soal lakonan memang saya tidak pernah terfikir untuk berhenti sebab suami sendiri memberi penuh sokongan terhadap kerjaya yang saya minati ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN