Elak cara ah long dalam menuntut hutang pinjaman PTPTN - Utusan Malaysia

Elak cara ah long dalam menuntut hutang pinjaman PTPTN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Kementerian Pendidikan diingatkan supaya mengelakkan sebarang pendekatan seperti ah long dalam menuntut hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) termasuk tidak menggunakan kaedah membankrapkan peminjam.

FAIRUZ JAMALUDIN
FAIRUZ

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berkata, pengisytiharan muflis terhadap peminjam yang gagal melunaskan bayaran bulanan PTPTN hanyalah penyelesaian masalah yang kejam dan akan merosakkan masa depan peminjam.

Jelas beliau, sebahagian besar daripada tiga juta peminjam PTPTN adalah mereka yang baru belajar untuk hidup berdikari dan tidak sepatutnya mereka ‘diugut’ sehingga boleh merosakkan fasa awal kehidupan.

“Penyelesaian masalah yang lebih adil dan berkesan wajib menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan untuk menyelesaikan masalah hutang PTPTN tanpa melalui proses kebankrapan.

“Tindakan menyenaraihitamkan graduan di Jabatan Imigresen sebelum ini adalah penyelesaian jangka pendek yang lebih baik. Sebagai penambahbaikan, kelonggaran kepada peminjam yang terpaksa ke luar negara atas alasan munasabah dengan garis panduan tertentu menerusi permohonan khas harus diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ketika menjawab soalan Dr. Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat berkata, langkah kerajaan mengeluarkan nama peminjam PTPTN daripada senarai hitam adalah konsisten dengan kelonggaran yang diberikan terhadap individu-individu yang gagal membayar pinjaman bank.

Jelas Nie Ching, mereka yang berhutang dengan bank tidak akan disenarai hitam di Jabatan Imigresen walaupun tidak membayar hutang secara konsisten kecuali apabila sudah diisytiharkan bankrap.

“Jika bankrap baru senarai hitam tapi pinjaman pelajaran terus dimasukkan dalam senarai hitam, jadi kita kena konsisten dalam hal ini,” katanya.

Namun begitu, kenyataan tersebut dilihat telah disalah tafsir apabila tular dalam media sosial mengatakan kerajaan akan mengisytiharkan peminjam yang tidak membuat pembayaran PTPTN sebagai bankrap sebelum mereka disenarai hitam dari meninggalkan negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×