KUALA LUMPUR 17 Julai – Malaysia semakin hampir untuk kembali mendahului Singapura dari segi ekonomi selepas ketinggalan buat tahun ketiga berturut-turut.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berjumlah AS$314.5 bilion (RM1.27 trilion) pada 2017, sekitar AS$9.4 bilion (RM37.98 bilion) lebih rendah berbanding Singapura iaitu AS$323.9 bilion (RM1.308 trilion), berdasarkan data daripada Bank Dunia.
Menurut laporan Bloomberg, defisit tersebut dijangka mengecil kepada hanya lebih kurang AS$2 bilion (RM8.08 bilion) pada tahun depan.
Ia berdasarkan anggaran median penganalisis ekonomi Bloomberg yang meramalkan KDNK Malaysia berkembang kira-kira 5.5 peratus pada 2018 berbanding hanya 3.1 peratus di Singapura.
Ekonomi Malaysia mencatatkan peningkatan 5.4 peratus bagi separuh pertama tahun ini, lebih rendah berbanding 5.9 peratus pada suku keempat tahun lepas.
Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan KDNK Malaysia akan berkembang antara 5.5 peratus hingga enam peratus tahun ini.
April lalu, Bank Dunia menyemak naik pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 5.4 peratus tahun ini daripada 5.2 peratus sebelum ini, disokong oleh pengukuhan penggunaan swasta.
Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia juga menyatakan pertumbuhan Malaysia dijangka kekal kukuh dalam masa terdekat, walaupun pada kadar lebih sederhana berbanding tahun lalu.
Malaysia masih dibelenggu ketidakpastian yang mana kerajaan yang mengambil alih pentadbiran lebih dua bulan lalu, hanya baru bermula memberi gambaran yang jelas mengenai dasar-dasar ekonomi.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura minggu lalu mengeluarkan anggaran awal KDNK negara itu akan berkembang 3.8 peratus bagi suku kedua 2018, lebih rendah daripada ramalan 4.1 peratus.
Untuk rekod, Singapura mencatatkan pertumbuhan KDNK pada 4.3 peratus bagi suku pertama tahun ini.
Bloomberg melaporkan penganalisis ekonomi melihat Singapura akan menikmati pertumbuhan kukuh tahun ini, namun berdepan dengan separuh kedua yang tidak menentu.
Ia disebabkan oleh keruntuhan pasaran hartanah baru-baru ini yang kemungkinan boleh mengurangkan sentimen dan memperlahankan perbelanjaan pengguna.
Malaysia dan Singapura termasuk dalam enam ekonomi utama Asia Tenggara yang menerima kesan daripada perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, di samping beberapa faktor yang terus menekan pasaran.
Menurut laporan Bloomberg, faktor-faktor itu termasuk gelombang untuk mengetatkan dasar-dasar global, pengukuhan harga minyak dan keadaan politik di peringkat domestik.










