Ekonomi dijangka tidak menentu sehingga Oktober - Utusan Malaysia

Ekonomi dijangka tidak menentu sehingga Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Julai – Ketidaktentuan ekonomi Malaysia ketika ini sehingga membawa kepada penurunan pasaran saham dijangka berlanjutan sekurang-kurangnya Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, perkara tersebut berlaku ekoran daripada sentimen pelabur asing yang begitu berhati-hati de­ngan keadaan semasa di negara ini khusus berkaitan polisi ekonomi.

“Untuk jangka masa pendek ba­nyak ketidaktentuan akan berlaku kerana kerajaan masih belum menetapkan bentuk polisi pelaburan atau pemacu pasaran yang mereka mahu laksanakan.

“Saya jangka ke­tidak­tentuan (ekonomi) akan berlaku satu, dua bulan lagi sehingga kita sampai ke pembentang­an bajet pada bulan Oktober nanti,” katanya dalam sesi soal jawab di Forum Ekonomi dan Kepemimpinan 2018 di sini, hari ini.

Shahril Ridza menambah, selain faktor domestik, faktor luaran se­perti pengukuhan mata wang dolar dan ekonomi Amerika Syarikat (AS) turut memberi kesan kepada penyusutan pasaran saham di Malaysia.

“Kesannya bukan sahaja di Malaysia malah Indonesia (pasaran saham) turun sebanyak 15 peratus, Filipina (turun) 18 pera­tus,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Shahril Ridza berkata, perubahan pucuk pimpinan kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) te­lah menyebabkan para pelabur a­sing mengambil perhatian kepada setiap perkembangan Malaysia.

Pelabur asing, ujarnya, ternanti-nanti apakah bentuk polisi yang akan diambil oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Tumpuan turut diberikan oleh pelabur asing untuk melihat apa perubahan polisi yang akan berlaku. Pada saya, untuk jangka masa panjang bakal jamin kestabilan kerana pendekatan yang lebih sentral antara kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN