JOHOR BAHRU 2 Julai – Walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin menuju ke penghujungnya, namun masih ramai pihaknya menganjurkan rumah terbuka bagi meraikan saudara-mara, rakan-rakan dan kenalan.
Tidak ketinggalan mengadakan majlis seumpama itu ialah Pengurus Besar Pasaraya Econsave Johor, Mas Imran Adam di kediamannya di Taman Sri Pulai Perdana, dekat sini kelmarin.
Selain menjamu rakan-rakan dan kenalan yang datang, beliau turut meraikan seramai 40 warga emas dari Rumah Seri Kenangan, Ungku Mohsin, di sini.
Hadirin dijamu pelbagai juadah termasuk ketupat, lemang, lontong, nasi beriani dan kuih-muih.
Dalam pada itu, Mas Imran memberitahu, Econsave pada tahun ini memperuntukkan kira-kira RM30,000 untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik supaya dapat merasai kegembiraan sambutan tersebut seperti yang lain.
“Menerusi 18 premis Econsave yang ada di negeri ini, kita berjaya meraikan golongan warga emas, fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan asnaf yang telah dikenal pasti oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Terdahulu, sepanjang Ramadan kita telah melaksanakan aktiviti amal dengan memberi baucer RM100 setiap seorang dan membawa mereka membeli-belah di pasar raya Excosave terpilih,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mas Imran memberitahu, selain meraikan golongan kurang berkemampuan sempena Aidilfitri, pihaknya turut mengadakan program serupa pada sambutan Tahun Baharu Cina dan Deepavali.











