SAYA menulis di sini untuk renungan saudara Zakir Naik dan semoga mesej ini sampai ke pengetahuan saudara. Kehadiran Zakir di negara ini sangat dialu-alukan dan telah pun mendapat status penduduk tetap.
Namun begitu, beliau mungkin terlupa tentang misi sebagai pendakwah berwibawa di dunia dan persepsi masyarakat dunia tentang dirinya sebagai pendakwah.
Terus kepada persoalan utama. Mengapa Zakir perlu terus menetap di negara ini sedangkan di sini kerajaan tidak menyediakan medium dakwah sebagaimana biasa yang beliau lakukan iaitu forum perbandingan agama?
Alangkah ruginya ilmu beliau jika terus berada di negara ini sebab Zakir pembawa obor agama masa kini yang mampu mengubah persepsi dunia terhadap Islam. Dari sudut yang lain, saya rasa beliau perlu kembali ke negara India untuk berdepan dengan segala tuduhan. Kebaikan dan manfaatnya amat besar.
Kalau pihak pendakwa di India gagal membuktikan segala tuduhan kepada Zakir maka nilai dirinya makin melonjak tinggi dan suara beliau makin didengari ramai.
Peluang ini boleh beliau gunakan untuk membuka kembali forum perbandingan agama yang telah lama terbengkalai. Tetapi jika saudara didapati bersalah sama ada melalui bukti yang diada-adakan atau apa sahaja, ketahuilah dunia Islam tahu siapa sebenarnya Zakir Naik dan tetap berada bersamanya. Jika Zakir dipenjarakan maka inilah dikatakan perjuangan atau jihad yang perlu dilalui sebagaimana yang sering dilaung-laungkan. Jika Zakir dibunuh semasa kembali ke benua India, maka beliau berada dalam saf mati syahid kerana membela Islam. Kematian yang sangat diharapkan oleh setiap pendakwah Islam.
Keengganan Zakir secara sukarela balik ke India menimbulkan persepsi ramai bahawa beliau menyembunyikan diri kerana takut kepada sesuatu. Persepsi ini tidak dapat dihalang atau ditolak begitu sahaja. Dunia sekarang sedang menunggu kemunculan saudara di media besar dunia tetapi sayang saudara memencilkan diri di negara ini. Siapa yang rugi? Jawapan yang tepat, dunia Islam yang rugi.
MEOR SHAARI
Sains Politik UKM









