GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah melibatkan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Seri Segar, Butterworth dekat sini Isnin lalu.
Suspek tempatan berusia 42 dan 51 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri kira-kira pukul 4.45 petang.
Dalam serbuan tersebut, polis menemui dadah disyaki jenis heroin, ketamin, syabu dan pil Eramin 5 di dalam rumah yang disewa suspek berkenaan.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik pada sidang akhbarnya di IPK sebentar tadi berkata, pihaknya turut membongkar sebuah makmal memproses dadah di dalam kediaman yang dihuni suspek.
“Kesemua dadah yang dirampas adalah bernilai RM426,000 dan suspek yang merupakan rakan karib itu kini ditahan reman sehingga 30 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952),” katanya. – K! ONLINE










