BANGKOK 19 Julai – Dua petugas media dikenal pasti antara empat mangsa dalam nahas helikopter milik swasta di wilayah Khon Kaen di timur laut Thailand semalam. Jurufoto Channel 7, Samnao Noisakul dan Ronnakit Phetnin berada dalam pesawat itu ketika ia terhempas lalu terbakar di kampung Wangsaeng pada 9 pagi waktu tempatan. “Channel 7 menyewa helikopter itu untuk tugasan membuat laporan berita dan program televisyen. Pesawat berkenaan sedang menuju ke Khon Kaen untuk mengambil seorang pemberita apabila ia terhempas,” kata Pengarah Lapangan Terbang Khon Kaen, Anthaya Lapmark kepada media tempatan di sini hari ini. Pemberita Channel 7, Natchapong Muhammad berkata kejadian berlaku ketika dia menunggu pesawat berkenaan di lapangan terbang itu untuk mengambilnya bagi tugasan membuat laporan tentang kejadian ribut di wilayah Roi Et yang berhampiran. Dua lagi mangsa dalam nahas itu ialah juruterbang, Seksana Wanna dan pembantunya, Kolonel Sinsamut Santhepa.
Kejadian dipercayai berlaku akibat cuaca buruk.
Helikopter itu berlepas dari wilayah Saraburi, sebelum terhempas ketika terbang di ruang udara Khon Kaen. Para penyelamat berjaya mengeluarkan mayat kesemua mangsa yang terbakar teruk malam tadi dan dihantar ke sebuah hospital berdekatan untuk bedah siasat. Keluarga dan waris mangsa telah dimaklumkan tentang kejadian itu. – BERNAMA










