SUNGAI PETANI – Dua pelajar lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dalam satu kejadian di Jalan Tikam Batu – Kota Kuala Muda berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.45 malam itu, kedua-dua mangsa, Mohamad Adli Mat Akhir, 20, berasal dari Kampung Paya Kercut, Tikam Batu dekat sini dan Amir Amirullah Noor Azman, 17, dari Taman Semarak di sini meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang Amir Amirullah yang dalam perjalanan menghala ke Kota Kuala Muda memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Mohamad Adli yang menunggang motosikal jenis Modenas Kris.
“Pertembungan itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sazalee berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dekat sini untuk bedah siasat.
“Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE










