Dua pasukan tercorot Liga Perdana turun Liga FAM - Utusan Malaysia

Dua pasukan tercorot Liga Perdana turun Liga FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Julai – Dua pasukan tercorot Liga Perdana musim ini akan disingkir ke Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), musim depan.

Malaysian Football League (MFL) dalam kenyataan memaklumkan, Lembaga Pengarah MFL yang bermesyuarat pada 27 Jun lepas membuat keputusan untuk terus mengekalkan penyertaan 12 pasukan pada musim depan bagi menjamin konsistensi bilangan pasukan yang dipromosi dan diturunkan sepertimana dilakukan sebelum ini serta bagi memelihara tahap daya saing yang lebih kompetitif bagi Liga Perdana.

“Keputusan ini juga diputuskan bagi mengelakkan penurunan kualiti sedia ada dalam 100PLUS Liga Premier Malaysia jika jumlah pasukan yang dipromosi ke 100PLUS Liga Perdana tidak diselaraskan,” demikian menurut MFL.

Untuk rekod, Kuantan FA digugurkan daripada saingan Liga Malaysia pada 20 April lalu setelah gagal menghadirkan diri untuk aksi Liga Premier menentang Polis Diraja Malaysia pada 15 April lepas di Stadium Shah Alam.

Pengguguran wakil kelab Pahang berkenaan menyaksikan hanya 11 pasukan meneruskan saingan Liga Perdana musim ini.

MFL memaklumkan mereka masih mengekalkan format sama dengan dua pasukan yang mara ke final Piala FAM, musim ini akan dinaikkan pangkat beraksi dalam saingan Liga Perdana 2019. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN